
Politik
Dr. Taufiq tawar diri bertanding ketua cabang PKR Sungai Petani
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani.
Dalam kenyataan di Facebooknya beliau berkata, keputusan itu bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti di kawasan terbabit terus diperkukuh, selari dengan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Kita mesti pertahankan kemenangan di Parlimen Sungai Petani, DUN Bakar Arang dan DUN Sidam, serta merampas semula DUN Pantai Merdeka yang jatuh ke tangan lawan.
“Justeru, dengan penuh rendah hati, saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Cabang KEADILAN Sungai Petani. Saya menyeru seluruh anggota akar umbi agar bersama-sama membina sebuah pasukan besar yang kukuh dan utuh dalam menghadapi PRU16 nanti,” katanya.
Menerusi kenyataan itu beliau turut menegaskan fokus utamanya untuk memperkukuh jentera organisasi parti itu di Sungai Petani agar lebih tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik mendatang.
“Sungai Petani adalah antara cabang terawal mengibarkan panji perjuangan PKR di Kedah sejak penubuhan parti pada tahun 1999.
“Dengan keanggotaan hampir 14,000 orang, cabang ini memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri,” katanya.
Pemilihan peringkat cabang dijadual berlangsung dari 11 hingga 20 April ini, manakala pemilihan pucuk pimpinan pusat akan diadakan pada 24 Mei. – SM