Politik

PKR Sarawak mahu jawatan presiden tidak dipertandingkan

SEMUA cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengusulkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar sekali gus mengekalkan jawatan presiden parti pada sesi pemilihan 2025-2028 Mei nanti.

Memetik Suara Keadilan, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Senator Abun Sui Anyit berkata, keputusan berkenaan diambil bagi membolehkan Anwar menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerajaan sebagai Perdana Menteri (PM).

Menurut beliau, pemilihan parti kali ini dijangka meriah apabila ramai anggota parti dilihat bakal menawarkan diri untuk menerajui parti daripada peringkat cabang dan pusat.

”Ketika Mesyuarat Agung Cabang Hulu Rajang yang lalu, saya sendiri telah memaklumkan kepada anggota dalam mesyuarat bahawa saya sekali lagi akan menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang dan akan juga akan bertanding di peringkat Pusat.

”Justeru, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyertai pemilihan parti kepada semua anggota KEADILAN seluruh negara termasuk calon, pemilih atau pengundi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Abun turut memaklumkan bahawa kesemua 31 Cabang KEADILAN Sarawak telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang yang bermula sejak awal Mac lalu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan MPN negeri berkata, sebelum Mesyuarat Agung Tahunan Cabang diadakan, semua sayap iaitu Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) telah mengadakan mesyuarat masing-masing.

”Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan pada 10 Mac lalu telah menekankan agar dalam sesi pemilihan kali ini, setiap calon perlu mematuhi etika dan disiplin pertandingan yang dikuatkuasakan JPP bagi pihak parti.
”Ini termasuk bagi mengelakkan fitnah dan serangan peribadi kepada calon-calon lain,” ujar Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu.
Pada 26 Januari lalu, KEADILAN memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat (MPAMKP) diadakan pada 24 Mei ini.
Pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button