Mahkamahpilihan

Tiga pengurus syarikat didakwa seleweng insentif Program Penjana Kerjaya 2.0

Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM147,400, daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Mereka yang terbabit ialah Muhammad Hafizi Ab Jamal, 33, Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Nurul Ain Shamdudin, 30.

Ketiga-tiga individu mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Muhammad Hafizi seorang pengurus syarikat Rizky H&I Global berdepan dua pertuduhan apabila mengemukakan butiran palsu melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud menuntut insentif berjumlah RM74,600.

Bagi Asmida Shahfika, pemilik syarikat Roti Warisan Enterprise, didakwa atas kesalahan sama apabila mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja di syarikat miliknya melibatkan tuntuan berjumlah RM36,900.

Manakala Nurul Ain yang juga Pengurus Syarikat Zaharain Enterprise turut didakwa kesalahan sama membabitkan jumlah RM35,900.

Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu dikesan dilakukan di Pejabat PERKESO Negeri Melaka antara 19 Mei 2021 hingga 18 Jun 2021 lalu.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Ikhwan Zaudi Nordin Mohd Yasri Yahya mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap Asmida Shahfika dan Nurul Ain manakala RM40,000 terhadap Muhammad Hafizi.

Bagaimanapun, Elesabet dalam penghakimannya kemudian membenarkan Asmida Shahfika dan Nurul Ain masing-masing diikat jamin RM8,000 manakala Muhammad Hafizi dengan jumlah RM20,000.

Hakim kemudiannya menetapkan 16 Februari sebagai sebutan semula kes tersebut dan serahan dokumen.

Ketiga-tiga tertuduh turut diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta tidak mengganggu saksi pendakwaan. – SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button