Politik

Tidak pandai manfaatkan politik digital, UMNO tewas dalam ‘cognitive war’ PRU-15

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat UMNO tewas dalam PRU-15 yang lalu kerana menerima serangan mengejut dalam ‘cognitive war’ oleh parti lawan.

Bagi beliau, ‘cognitive war’ yang dilancarkan oleh pihak lawan secara konsisten menggunakan ruang maya sebagai lubuk untuk menanam sentimen jahat terhadap UMNO.

“Antara sentimen yang dikeluarkan adalah seperti bahawa UMNO itu rasuah, UMNO itu kotor, gila kuasa, dan segala kata nista yang menjengkelkan.

“Tidak cukup dengan itu, mereka melabel pemimpin kita kleptokrat, tidak bermoral dan segala macam lagi termasuk tohmahan lain yang mampu mencemar kepimpinan kita,” katanya.

Mohamad Hasan berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Turut hadir, Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ujar Mohamad Hasan, semuanya disampaikan dalam pelbagai bentuk grafik, video, dan banyak lagi naratif lain yang dipancar dan disebar luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter.

“Di ambang pilihanraya, strategi ‘cognitive war’ ini telah mereka giatkan, berlipat kali ganda. Kita juga diserang hebat, oleh ‘cybertroopers’, dari pelbagai arah.

“Motif mereka adalah untuk mempengaruhi pemikiran dan mengubah keyakinan masyarakat terutamanya orang Melayu bahawa UMNO tidak layak menjadi wakil mereka,” katanya.

Maka dengan itu, sehari demi sehari, ia menjadi kepercayaan, dan keyakinan rakyat bahawa UMNO itu sinonim dengan segala kecurangan dalam politik.

“Inilah yang Perikatan Nasional lakukan dengan berkesan. Mempengaruhi golongan muda dan pengguna media sosial seperti Tik Tok dan Instagram dengan melancarkan perang besar-besaran dengan ‘content’ yang toksik untuk mengajak orang Melayu membenci serta meninggalkan UMNO.

“Ternyata, strategi ‘perang kognitif’ mereka sangat berjaya. Tsunami Melayu melanda utara, dan pantai timur semenanjung, dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak UMNO,” katanya.

Mengimbau peristiwa PRU-15, UMNO tewas tanpa memenangi satu kerusi parlimen pun di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Kita turut gagal mempertahankan semua kerusi parlimen di Kedah termasuklah yang disifatkan sebagai kerusi selamat seperti Padang Terap.

“Di Perak kita tewas dengan dahsyat dan demikianlah impak ‘perang kognitif’ terhadap kita. Yang paling menyedihkan ialah kita jauh ketinggalan dalam memanfaatkan tren ‘politik digital’ ini,” katanya.

Ujar Mohamad Hasan, pada saat pihak lawan giat berkempen dan ‘membaham’ parti itu dalam media sosial, UMNO gagal pertahankan diri untuk menolak tuduhan fitnah dan kenyataan palsu yang dilemparkan.

“Kita juga gagal membentuk karisma dan pengaruh yang kuat di ruang maya.

“Kita tewas kerana kita gagal beradaptasi dengan kepentingan menggunakan teknologi dan maha data (big data) dalam rencana pilihanraya kita,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button