Sukan

Tidak akan menyerah kalah – V Shem

GANDINGAN Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak akan menyerah kalah selagi belum tiba tempoh tamatnya kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada April ini.

V Shem ketika ditemui berkata sebelum tarikh tutup itu, mereka masih lagi berpeluang dan akan berjuang bermati-matian bagi mengutip sebanyak mungkin mata kelayakan walaupun menyedari saingan semakin sengit.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 kini menduduki ranking ke-10 dunia.

“Sebelum kelayakan Olimpik tutup, kita akan berlawan sebaik mungkin, tidak akan mudah putus asa,” katanya.

Namun, pada perlawanan pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2020 hari ini, gandingan profesional negara itu terpaksa akur tewas kepada ‘junior’ mereka Aaron Chia-Soh Wooi Yik 19-21, 18-21.

“Saya dengan Wee Kiong sudah buat yang terbaik tapi Aaron dan Wooi Yik lebih kuat, lebih muda lebih pantas jadi saya rasa mereka ada potensi yang baik.

“Cuma hari ini, undian pusingan pertama sudah jumpa, nampak satu kalah satu menang… keputusan memang kena macam itulah. Kalau saya menang, dia yang akan kalah. Semua memang tidak suka kalau undi macam ini,” katanya.

Dalam pada itu pasangannya Wee Kiong pula berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kelayakan ke Sukan Olimpik sebaliknya mahu memberi lebih fokus kepada setiap kejohanan serta perlawanan yang disertai mereka.

“Kita cuma tidak fikir sangat mengenai layak atau tidak. Kita fokus untuk melakukan peningkatan di setiap pertandingan yang kita sertai. Memang hari ini tidak seronok kalah tapi kita memang ada kurang sikit.

Tentang Aaron-Wooi Yik, memang dalam satu tahun ini mereka sudah meningkat dan prestasi mereka okaylah. Mungkin ini adalah perlawanan pertama pada permulaan 2020, tidak boleh buat apa, sudah kalah,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button