KesihatanPenyakit

Tibi bukan disantau- Dr. Amirul Amzar

Sempena Hari Tuberkulosis Sedunia hari ini

HARI ini sempena Hari Tuberkulosis Sedunia, masih ada yang dijangkiti penyakit tibi sedangkan mereka sudah pun mendapat suntikan vaksin BCG. Itu persoalan yang dibangkitkan dengan susulan pertanyaan, apakah suntikan vaksin BCG itu tidak berkesan bagi mencegah jangkitan tibi?

Jika ada maklumat yang disampaikan kepada orang ramai mengenai suntikan BCG atau Bacille Calmette-Guerin oleh kelompok atau kumpulan atau pun golongan anti-vaksin di negara ini, ia ditolak oleh Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbuster Malaysia, Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.

Memetik laporan BERNAMA, Dr. Amirul Amzar berkata, “tujuan utama vaksin BCG ialah untuk melindungi bayi daripada kuman Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan tuberculous meningitis iaitu keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.

“Bagaimanapun, ia tidak menghalang kita daripada dijangkiti tibi pumonari yang menyerang paru-paru,” kata beliau.

Katanya, adalah sangat penting untuk setiap individu tidak memandang rendah kepentingan suntikan BCG terutamanya bagi golongan bayi dan kanak-kanak.

Lima peratus, kata beliau, bayi yang dijangkiti tibi meningitis akan mengalami kecacatan kekal sementara 20 peratus lagi, akan meninggal dunia biarpun mendapat rawatan.

Ini bermakna, satu daripada lima bayi yang dijangkiti akan meninggal dunia manakala satu daripada dua akan mengalami kecacatan, ujar beliau.

Jelas ini satu fakta yang menakutkan dan pastinya tidak boleh dipandang ringan atau remeh.

Biarpun perlindungan daripada suntikan vaksin BCG mungkin akan hilang seiring kedewasaan kanak-kanak, kematian dalam kalangan orang dewasa kebiasaannya adalah disebabkan masalah lain seperti kegagalan imunisasi.

“Amat jarang bagi seseorang dewasa yang sihat mendapat jangkiti tibi meningitis kecuali mereka kurang daya tahan jangkitan.

“Walaupun begitu, kadar kesembuhan pesakit tibi meningitis dalam kalangan dewasa lebih tinggi berbanding bayi

“Orang dewasa yang dijangkiti tibi pulmonari pula kebiasaannya boleh sembht sepenuhnya sekiranya mereka mendapatkan rawatan intensif,” katanya.

Selain itu, Dr. Amirul Amzar berkata, ada yang percaya kononnya diri terkena jangkitan mistik kerana mengalami simptom tibi, juga antara sebab mengapa ramai yang lambat mendapatkan rawatan.

Katanya, perkara berkenaan sering berlaku terutamanya melibatkan pesakit dalam kategori luar bandar dan kawasan pendalaman.

Masalah batuk berdarah, susut berat badan dan hilang selera makan dikatakan kerana disantau dan pesakit seterusnya memilih untuk mendapatkan kaedah rawatan alternative seperti bertemu pawang, bomoh atau dukun.

Ini menyebabkan mereka gagal mendapatkan rawatan sewajarnya dan sekaligus menjadi punca penularan wabak berjangkit itu di dalam komuniti, kata beliau.

“Apabila mereka ini menganggap diri disantau dan memilih menjalani rawatan kampung, mereka kehilangan masa berharga yang sepatutnya digunakan untuk mendapatkan rawatan awal jangkitan tibi di premis kesihatan kerajaan atau mana-mana hospital.

“Lebih memburukkan keadaan, sepanjang tempoh itu juga semestinya pesakit bebas bergerak dan ia berisiko menjadi punca merebaknya wabak ini dalam lingkungan komuniti pesakit,” jelas beliau.

Dr. Amirul Amzar berkata, situasi berbeza sekiranya pesakit sedar akan simptom awal dihadapi itu adalah penyakit tibi dan segera mendapatkan rawatan sewajarnya di hospital. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button