Nasional

Tiada Sijil Kursus Perkahwinan: Pasangan tidak boleh nikah di Selangor?

PERKAHWINAN dalam Islam amat digalakkan untuk mengelakkan pelbagai masalah sosial yang timbul sekiranya ijab kabul tidak dipermudahkan ke atas pasangan yang sudah benar-benar bersedia untuk mendirikan masjid.

Di negara kita, setiap pasangan yang mahu melangsungkan pernikahan buat pertama kalinya, perlu menjalani kursus perkahwinan.

Setelah menjalani kursus berkenaan, mereka akan diberikan sijil yang membuktikan bahawa pasangan yang mahu bernikah itu, telah pun mengikuti kursus yang wajib dilakukan.

Sebelum wabak COVID-19 melanda negara, tidak timbul persoalan dan permasalahan bagi pasangan yang ingin menikah.

Setiap negeri mempunyai undang-undang dan enekmen masing-masing yang harus dipatuhi. Namun begitu, sejak negara turut dilanda musibah wabak, ramai pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan, terpaksa menangguhkan niat suci masing-masing.

Walaupun ada yang menuntut agar pernikahan secara online atau dalam talian dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun pendekatan itu agak tidak mudah untuk diterima dan seterusnya dijadikan amalam norma baharu kehidupan masyarakat di negara ini.

Untuk rekod, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pertama kalinya pada 18 Mac lalu, bersambung-sambung sehinggalah PKP dipertingkatkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan terkini, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana PKPB yang tamat pada 9 Jun ini, tidak bersambung.

Berbalik kepada topik penulisan, dikatakan ramai pasangan di Selangor yang tidak dapat bernikah kerana tiada Sijil Kursus Perkahwinan.Dalam tempoh PKPB memang tiada siapapun dibenarkan keluar rumah.

Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dikatakan tidak memberi kelonggaran kepada mana-mana pasangan yang ingin menikah tanpa mengemukakan Sijil Kursus Perkahwinan.

Biarpun ada pasangan yang sepatutnya menikah pada 12 Julai ini, proses pernikahan terbantut, disebabkan tiada Sijil Kursus Perkahwinan, mereka tidak dibenarkan menikah.

Untuk mengikuti kursus perkahwinan, bukannya boleh dilakukan serta merta. Mereka perlu mendaftar sekurang-kuranganya tiga minggu sebelum mengikuti kelas yang dikendalikan oleh pihak yang berkenaan. Mana mungkin sijil itu diperoleh dalam tempoh sehari sebelum tarikh nikah.

Seluruh negeri Selangor dikatakan tidak membenarkan pasangan untuk bernikah tanpa mengemukakan Sijil Kursus Perkahwinan.

Cuma ketika inilah norma baharu perlu disesuaikan dengan apa juga aktiviti yang difikirkan perlu untuk dilakukan. Negeri Perak sebelum ini mengumumkan bahawa tidak perlu hadir kursus perkahwinan untuk bernikah.

Sebaliknya hanya perlu menghadiri Tatacara Temuduga Khas (TTK) sebelum dinikahkan di Pejabat Agama Daerah masing-masing.

Menurut laporan Berita Harian, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kelonggaran itu berikutan kursus terbabit tidak dapat diadakan sepanjang PKP.

“TTK akan berkuat kuasa esok dan terbatal dengan sendirinya apabila tamat tempoh PKP kelak,” katanya.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula dalam kenyataannya semalam mewujudkan kursus perkahwinan secara dalam talian (online) yang boleh disertai 150 peserta dalam satu masa.

Apa yang dilakukan oleh JAIS itu nampaknya selari dengan hala tuju kerajaan ke arah pendigitalan.

Dengan kekangan yang ada termasuk rentas negeri nampaknya tidak boleh jadi alasan untuk menghapuskan sesuatu yang sebenarnya perlu untuk seorang bakal suami atau isteri.

Apatah lagi pernikahan bukanlah sesuatu yang boleh dibina atau diputuskan secara sesuka hati dan sudah pasti bimbingan buat bakal mempelai perlu ada. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button