Tiada akses internet, guru cetak, agih kerja sekolah kepada pelajar
BERGELAR pendidik lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman termasuk di penempatan Orang Asli, menuntut daya kreativiti serta usaha tersendiri dari guru demi memastikan anak didik terus memperoleh ilmu pengetahuan.
Bertitik tolak daripada itu, Muhammad Aisham Azahar, 29, yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Gedong, Bidor dekat tapah menjadikan kelonggaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai peluang untuk mendekati anak murid dalam kalangan Orang Asli yang lama tidak ditemui.
Katanya beliau mencetak sendiri kerja sekolah untuk diagihkan kepada pelajar demi memastikan mereka tidak tercicir disebabkan kali terakhir sesi pembelajaran adalah sebelum cuti persekolahan penggal pertama pada 14 Mac lepas disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sehingga 12 Mei.
“Untuk permulaan, saya cetak kerja sekolah termasuk menyediakan kamus Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu dan hantar ke setiap rumah pelajar khususnya murid tahun lima dan enam yang kesemuanya tinggal berhampiran sekolah.
“Kerja sekolah bukan diberikan setiap hari, tetapi ia perlu disiapkan dalam tempoh seminggu sebelum saya datang untuk mengambil, memperbetulkan sebelum menjelaskan kesalahan yang dilakukan pelajar sekiranya ada,” katanya kepada BERNAMA, baru-baru ini.
Muhammad Aisham yang merupakan anak jati Perak berkata menjadi kebiasaannya sejak enam tahun lepas untuk menunggang motosikal sejauh 20 kilometer atau kira-kira 30 minit setiap hari dari Pekan Bidor dengan keadaan jalan berlubang dan rosak untuk sampai ke SK Pos Gedong yang mempunyai 85 pelajar serta 13 guru dan dua kakitangan.
Bernama yang mengikuti Muhammad Aisham mengedarkan cetakan kerja sekolah mendapati kebanyakan pelajar ceria dan melambai-lambai ke arah guru muda itu yang datang bersama seorang lagi guru Bahasa Melayu SK Pos Gedong, Mohamad Ridzuan Mohamad Razali, 29.
Para pelajar yang ketika itu sedang bermain nyata teruja apabila bergegas meninggalkan kawasan permainan dan meluru ke arah kedua-dua guru mereka itu yang tidak ditemui sejak 14 Mac lepas.
Menurut Muhammad Aisham, penduduk di penempatan itu merupakan suku Semai dan bahasa perantara mereka adalah bahasa Semai dan bahasa Melayu.
“Saya tidak mahu mereka lupa dan secara praktikalnya cetakan kerja sekolah mungkin bersesuaian untuk sekolah ini yang tidak ramai pelajar, tiada akses internet, malah penduduk menggunakan pelita atau set generator untuk menjana bekalan elektrik,” kata graduan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang itu.
Bagi Mohamad Ridzuan yang berulang alik dari Tapah Road ke SK Pos Gedong sejak lima tahun lepas pula, tiada yang lebih menggembirakan buat warga pendidik selain daripada melihat pelajar mereka memanfaatkan setiap masa untuk mengulang kaji pelajaran hasil usaha mereka.
“Harapan saya pada anak-anak didik yang dikasihi agar mereka kekal bersemangat untuk belajar supaya tidak terus ketinggalan dan saya juga amat yakin mereka sangat rindukan suasana persekolahan,” katanya.- BERNAMA