Acara

Sekolah tempat lahirkan pelajar cemerlang – Raja Muda Perlis

SEKOLAH merupakan pusat bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dari semua aspek dengan penerapan nilai-nilai kepimpinan karamah insaniah dalam membangunkan potensi diri.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘selain itu, golongan pelajar juga perlu memiliki elemen kepercayaan dan pegangan agama yang kukuh dalam diri masing-masing selari dengan cabaran pendidikan yang kompleks masa kini’.

Titah baginda, pegangan agama yang teguh memainkan peranan amat penting dalam membentuk pemikiran dan pandangan hidup pelajar-pelajar bagi mendorong mereka mengikut ajaran al-Quran serta sunnah.

“Dengan ini, anda akan terus kekal berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat.

Ingatlah bahawa ilmu tanpa akhlak tidak akan mendatangkan keberkatan,” titah baginda sewaktu Program Titian Kasih 2025 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati II, bersempena dengan Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) 2025.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengetua SMK Sikuati II, YM Tengku Shuhaiza Tengku Abu Bakar.

Pada program itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan lampu solar oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kepada surau sekolah tersebut yang dimasyurkan sebagai Surau Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, golongan pelajar juga perlu sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan akademik di samping menunjukkan disiplin dan sikap berhemah tinggi setiap masa.

“Malah pelajar juga perlu mengamalkan sikap baik di dalam mahu pun luar sekolah sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan negara,” titah baginda

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button