JenayahNasionalNegeri

Tekong, awak-awak ditahan tangguk siput retak seribu

BUKAN tidak tahu kerajaan telah mengharamkan sebarang pengambilan siput retak seribu dari perairan Kuala Perlis tetapi masih ada yang degil.

Disangka perbuatan  menangguk siput retak seribu ini gagal dikesan pihak berkuasa.

Rupanya tindak-tanduk seorang tekong dan seorang awak-awak ini dihidu oleh orang awam yang kemudiannya melaporkan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Perlis telah diaturgerak ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada orang awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis .

Berikutan itu katanya, ia membawa kepada penahanan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran pada pukul lebih kurang 6.59 petang semalam kerasa disyaki menangguk siput pada kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Kuala Perlis.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang berpangkalan di Jeti Kurong Tengar, Kuala Perlis itu mendapati menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot dikendalikan oleh tekong dan seorang awak–awak yang merupakan warga tempatan yang berumur 28 hingga 33 tahun.

Mohd Hashim berkata, kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput yang dianggarkan bernilai RM 7,550 tersebut kemudian ditahan.

“Kesemua dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Aktiviti pencerobohan kawasan perikanan bagi tujuan menangkap siput secara haram masih berlaku di Perlis dipercayai berikutan Perlis adalah habitat pembiakan baka siput retak seribu.

Zon Maritim Kuala Perlis berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat salah laku jenayah maritim.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button