BeritaNasionalNegeriPendidikan

EEC beri peluang besar kepada Perlis dan UniMAP

PERKEMBANGAN pesat dan perancangan yang diatur oleh Thailand melalui Kementerian Pengangkutannya untuk bergelar hab logistik di ASEAN melalui projek perdana, Eastern Economic Corridor (EEC) dilihat berpotensi memberi peluang besar untuk dimanfaatkan oleh Malaysia termasuklah Perlis dan juga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terletak di utara tanah air.

EEC adalah projek fasa ketiga pelabuhan laut dalam Laem Chabang dan sambungan lebuhraya menghubungkan lapangan terbang U-tapoa di Rayong.

 

Malah bagi melengkapkan perancangan tersebut, Thailand difahamkan akan turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Thailand dengan Laos dan China serta terus ke beberapa buah negara di Eropah.


Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP telah singgah di Bangkok sebelum pulang ke tanahair selepas berkenan mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP Ke-16 di Laos baru baru ini.

Mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada baginda yang diiringi oleh Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa.

Titah Baginda, sebagai negeri jiran, Perlis dan UniMAP wajar mencari peluang bagi menjalinkan pelbagai kerjasama dengan pihak negara Gajah Putih tersebut dalam meningkatkan hab logistik khususnya merangkumi aspek pengangkutan darat.

Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya berharap UniMAP sebagai universiti awam teknikal yang berteraskan kejuruteraan juga boleh berkongsi kepakarannya dalam idea penggunaan ‘Bio-Circular-Green (BCG) Economy Model’ dan juga teknologi pintar.

 

Titah Baginda, perkara ini telah diketengahkan oleh Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob pada Persidangan ‘Asia-Pacific Economic Cooperation (Apec) Transportation Working Group’ yang bertemakan ‘Seamless, Smart, and Sustainable Transport’ baru-baru ini bagi memudahkan perdagangan dan sekali gus menambah baik perkhidmatan pelancongan sedia ada.

Selain itu titah Raja Muda lagi, Malaysia dan negeri Perlis terutamanya boleh proaktif dan melihat usaha Thailand ini sebagai batu platform untuk kita sama-sama menyertai dan bergerak seiring dengan negara tersebut dalam meningkatkan taraf perkhidmatan sedia ada dan pada masa yang sama menjalinkan hubungan kerjasama strategik yang mampu memberikan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak kelak.

Dalam perkembangan lain terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai RM3,000 yang diterima oleh Setiausaha Ketiga Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Nazrul Firzadh Yunus bagi pihak Pejabat Kedutaan berkenaan.

Ia adalah untuk membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan. – SM

(Visited 17 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button