Bola SepakSukan

Gagal ke kelayakan Piala Asia, prestasi skuad B-19 dinilai

Kegagalan skuad B-19 atau skuad bawah 19 (B-19) tahun negara di kelayakan Piala Asia B-20 di Mongolia, Ahad lalu akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum apa-apa tindakan diambil.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, satu laporan lengkap perlu disediakan oleh pengurusan skuad B-19 negara sebaik sahaja mereka tiba ke tanah air malam ini.

Katanya, laporan itu akan disediakan jurulatih pasukan Hassan Sazali Waras mengenai prestasi keseluruhan pasukan untuk dibincangkan dalam jawatankuasa terbabit.

Ujarnya, tempoh yang akan diberikan selama seminggu hingga dua minggu untuk Hassan menyerahkan laporan berkenaan.

“Pasukan balik malam ini, jadi kita akan minta jurulatih untuk sediakan laporan lengkap pasukan negara di sana.

“Selepas itu laporan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan. Itu saja dulu yang dapat saya ulas buat masa ini, apabila jawatankuasa selesai berbincang, kita akan lihat apa yang diputuskan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, skuad kendalian Hassan gagal melepasi peringkat kelayakan apabila mengakhiri kempen Kumpulan E di tangga ketiga, sekali gus tidak layak ke Piala Asia di Uzbekistan tahun depan.

Skuad negara sekadar meraih empat mata dalam tiga aksi selepas seri 1-1 dengan Mongolia dan menang 3-0 ke atas Sri Lanka, sebelum tumbang 2-6 kepada Korea Selatan.

Susulan prestasi buruk itu, ramai peminat mendesak agar skuad B-19 dirombak dengan melantik barisan kejurulatihan yang baharu.

Malah, kegagalan skuad Harimau Muda itu turut memberi tamparan hebat kepada Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang diberi nama F:30, di mana ia dilancarkan pada 2018 lalu dengan menyasarkan untuk menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.

Antara sasaran ditetapkan dalam F:30 adalah untuk melihat skuad B-19 layak ke Piala Dunia B-20 yang bakal berlangsung di Indonesia tahun depan. – SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button