Nasional
Tanah mendap, sebahagian laluan di NKVE ditutup kepada lalu lintas
LORONG kecemasan dan separuh lorong kiri di Kilometer (KM) 18.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) arah selatan ditutup sementara bagi kerja-kerja pembaikan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, penutupan sementara itu dibuat ekoran insiden tanah mendap di lokasi tersebut.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 11 pagi.
“Penutupan ini dibuat bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan kerja-kerja pembaikan dilakukan.
“Sehubungan itu, pihak polis memohon semua pengguna jalan berkenaan untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. – SM