
Semua perlu pragmatik tangani isu pendidikan, titah Raja Muda Perlis
KANGAR 13 Feb. – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa cabaran pendidikan masa kini memerlukan pendekatan yang pragmatik dan kerjasama erat daripada semua pihak bagi menangani isu-isu berkaitan.
Baginda menegaskan bahawa masalah seperti keciciran pembelajaran, jurang digital, dan kekurangan akses kepada sumber pendidikan menuntut komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak.
“Pelaksanaan ‘Program Anak Kita: SPM 2025’ adalah satu inisiatif komprehensif yang dirangka khusus untuk menangani isu keciciran, mengintegrasikan semula murid yang tercicir ke dalam arus pendidikan perdana, serta memperkukuh pencapaian akademik di negara kita,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Sokongan Pemulihan Pembelajaran ‘Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia: SPM 2025’ peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di The Putra Regency Hotel, Persiaran Jubli Emas, Kangar.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Rusmini Ku Ahmad, serta Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin serta Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Azlan Amran.
Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia, Yayasan Hasanah, Universiti Sains Malaysia (USM) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
‘Program Anak Kita: SPM 2025’ melibatkan 600 pelajar dari sembilan sekolah menengah di Perlis. Mereka akan menerima tablet pendidikan beserta pelan data tanpa had selama 13 bulan secara percuma sepanjang tempoh program.
Tablet pendidikan ini bukan sahaja menjadi alat bantu belajar, malah turut memartabatkan pendigitalan pendidikan dalam kalangan pelajar. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi membantu 600 calon SPM 2025 di Negeri Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian program serta pengurniaan Watikah Pelantikan, sijil penyelarasan program kepada wakil sembilan sekolah yang terlibat, dan pengurniaan tablet kepada sembilan pelajar terpilih.
Baginda turut menzahirkan harapan agar para guru sentiasa memberikan bimbingan berkualiti serta memantau perkembangan akademik pelajar. Selain itu, baginda menyeru agar pelajar mengambil peluang ini dengan penuh komitmen dan memanfaatkan sepenuhnya program yang telah disediakan demi masa depan mereka.