Pendidikan

Takwim persekolahan: Maszlee dakwa dihujani luahan guru

BEKAS Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mendakwa beliau dihujani dengan desakan dan luahan para guru berkaitan takwim persekolahan untuk penggal 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

Maszlee berkata, secara peribadi beliau berasa sedih dan kecewa kerana pendapat para guru tidak diambil kira dalam keputusan penting tersebut.

“Saya ambil maklum keresahan para guru mengenai keputusan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meminda takwim persekolahan untuk penggal 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID 19.

“Sejak beberapa jam yang lalu, saya dihujani dengan desakan dan luahan para guru melalui mesej-mesej peribadi di WhatsApp dan medium media sosial yang lain.

“Saya secara peribadi berasa sedih dan juga kecewa ketika pendapat para guru tidak diambil kira dalam keputusan penting seperti yang dilaksanakan oleh Menteri Pendidikan hari ini,” kata Maszlee.

Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melakukan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 bagi membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran murid.

Pindaan melibatkan Cuti Pertengahan Penggal 2 yang telah dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan).

Selain itu, Cuti Akhir Tahun bagi sekolah-sekolah negeri dalam Kumpulan A telah dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala, sekolah-sekolah dalam Kumpulan B telah dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

“Guru-guru yang berada di bawah hari ini, yang mengajar dari rumah ketika PKP, yang melaksanakan kelas-kelas dalam talian setiap hari, yang bersungguh menghantar kerja rumah melalui WhatsApp, yang gigih merakam video untuk tontonan anak murid, mereka semua adalah ‘frontliner’ penting di bahagian pendidikan ketika seluruh dunia diserang virus korona.

“Adakah semata-mata kerana kes COVID 19 reda dan surut hari ini, kerajaan dan Menteri Pendidikan mahu melupakan jasa frontliner di bahagian pendidikan ini?” kata Maszlee.

Beliau menyeru menteri pendidikan untuk kembali mendekatkan diri dengan warga pendidik dan para guru yang berada di sekolah-sekolah, mendengar dan berbincang secara muafakat dengan mereka dan mengiktiraf pendapat profesional mereka sama seperti amalan KPM sebelum ini.

Maszlee juga berkata, menteri pendidikan juga harus kembali mengambilkira dan mengiktiraf pendapat kesatuan guru  untuk memastikan pendapat dan keresahan para guru diambilkira ketika apa juga perubahan polisi dilaksanakan.-SM

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button