Politik

Takiyuddin ingatkan kompaun SOP Covid-19 perlu ikut garis panduan

LANGKAH mengenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, Kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan.

Justeru beliau mengingatkan pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Pindaan yang dibuat terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.

“Namun begitu langkah mengenakan kompaun di bawah Akta tersebut mesti dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut garis panduan tersebut, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000.

Pesalah-pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh 7 hari dan 25 peratus sekiranya dalam tempoh 14 hari.

Katanya, segala tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku-pelaku.

Tindakan tersebut dibuat agar semua pihak sama ada individu mahupun peniaga bertanggungjawab dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal dan serius.

Ingatan itu buat oleh Takiyuddin tidak sampai 48 jam selepas seorang peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang memaklumkan dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika itu tiada seorang pelanggan di kedainya dan dia sedang menyiapkan tempahan daripada pekerja kilang.

“Memang saya belum menutup kedai namun meja sudah disimpan. Saya hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang. Saya agak terkejut apabila dikenakan kompaun setinggi itu hanya untuk kesalahan ini. Sudahlah musim PKP, berniaga pun bukannya laris sebagaimana seperti sebelum ini,” katanya.

Anggota polis yang hadir ada memaklumkan terdapat laporan daripada pihak tertentu yang mengatakan kedai burger miliknya beroperasi lebih masa yang ditetapkan.-SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button