Nasional

Tak solat Jumaat tiga kali kerana patuhi SOP tidak diwajibkan solat sunat taubat

ORANG yang gagal menghadiri tiga kali solat Jumaat kerana patuh pada prosedur operasi standard (SOP) tidak diwajibkan untuk melakukan solat sunat taubat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu kerana apa yang berlaku kini termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan syarak.

“Ia sama seperti tidak menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular seorang pendakwah wanita yang memberitahu bahawa golongan lelaki yang sudah tiga kali tidak hadir solat Jumaat ketika ini perlu melakukan solat sunat taubat.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, perkataan wajib yang digunakan pendakwah berkenaan membawa maksud berdosa jika tidak melakukannya.

Katanya, ini membawa maksud pendakwah berkenaan menganggap berdosa kepada mereka yang terbabit tidak menunaikan solat sunat taubat.

“Sedangkan dalam konteks mentaati ulil amri dalam perkara makruf demi menjaga nyawa seperti SOP keselamatan atau kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa.

“Perlu diketahui bahawa meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa dan dalam ungkapan beliau mengenai ‘norma baharu yang merosakkan akidah’ itu difahami norma baharu boleh membawa kepada kekufuran atau sekurang-kurangnya kesesatan dan hal ini sangat bahaya kerana norma baharu ini kebanyakannya membabitkan persoalan fekah atau hukum hakam amalan.

“Untuk mengaitkannya dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan, ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin bahawa kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as-Sunnah sudah rosak,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan mengelirukan dan boleh memberi kesan tidak baik sedangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sentiasa menjadikan al-Quran, as-Sunnah dan dalil muktabar sebagai panduan sebelum apa jua garis panduan dikeluarkan kepada masyarakat.

Bagaimanapun Mohd Asri berkata, adalah wajar pendakwah berkenaan memberikan nasihat dan teguran berhubung orang yang bersungguh mencuba mendaftarkan diri untuk hadir solat Jumaat dengan syarat diizinkan oleh pemerintah.

“Selain itu, perasaan keinginan untuk dapat menunaikan solat Jumaat sepatutnya ada bagi setiap mukallaf yang tiada uzur syarie.

“Dengan menghormati semangat Islam pendakwah atau penceramah itu, pihak jawatankuasa ingin menasihati supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama,” katanya. -SM

(Visited 365 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button