Berita

MRA Berjaya Hantar Sumbangan Rakyat Malaysia ke Al Quds

Bermula dengan serangan rejim zionis Israel ke atas umat Islam di Masjid al Aqsa, Baitul Maqdis di Palestin sejak akhir Ramadhan yang lalu, disusuli pula dengan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza kini telah pun masuk hari yang ke 11. Lebih dari 230 orang rakyat Palestin telah dilaporkan terkorban melibatkan 65 orang kanak-kanak dan 40 orang wanita. Bilangan ini tidak termasuk 2000 penduduk Palestin di Baitulmaqdis yang tercedera akibat kekerasan rejim zionis Israel sejak awal Mei lalu.

MRA merasa bimbang di atas kesihatan rakyat Palestin yang kini berada di dalam keadaan genting akibat serangan bertali arus ke atas populasi yang padat sehingga menyebabkan 50,000 penduduk kini kehilangan tempat tinggal. MRA amat mengalu-alukan berita yang menyatakan bahawa gencata senjata telah dilaksanakan pada hari ini, namun gencatan ini tidak mengubah keadaan bahaya yang dialami penduduk di sana. Serangan bom Israel terhadap 24 buah fasiliti kesihatan yang diuruskan pihak kerajaan Palestin telah merencatkan bantuan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di sana yang mungkin menyebabkan jangkitan pandemik Covid-19 menjadi tidak terkawal. Sasaran pembuhuhan kepada anggota kesihatan professional yang bertugas juga amatlah dikesali.

Dr Ayman Harb, Pakar Bedah Trauma & Ortopedik dan pasukannya tetap gigih merawat penduduk2 Gaza yang cedera parah akibat serangan udara tentera Zionis Israel. Beliau pernah mendapat latihan klinikal di HUKM tajaan MRA pada tahun 2013 menerusi sumbangan ihsan rakyat Malaysia.

Bagi mengukuhkan solidariti kepada rakyat Palestin, MRA telah melancarkan ‘Tabung Kecemasan untuk Palestin’ bermula 8 Mei lalu dan kini telah berjaya terkumpul sebanyak RM500,000 hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia. Ini bertujuan bagi membantu sebahagian usaha rakyat Palestin serta meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk yang memerlukan khususnya kepada keluarga yang kini telah kehilangan tempat tinggal di Baitulmaqdis.

MRA telah pun menghantar bantuan sejumlah RM 85,000 untuk bantuan kecemasan fasa pertama kepada Al Quds bermula minggu lepas. Sumbangan dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu sumbangan bantuan bakul makanan kecemasan kepada 330 buah keluarga yang bernilai RM 55,000 dan juga sumbangan wang tunai (untuk tujuan bantuan sewa rumah) sebanyak 70 buah keluarga yang bernilai RM 30,000 secara keseluruhan. Lokasi bantuan adalah di kawasan kejiranan Syeikh Jarrah, Wadi Aljoz, Selwan dan juga di Rass Alamood berhampiran Masjid Al Aqsa. Jumlah keseluruhan penerima ialah seramai 2,000 orang.

Bagi fasa kedua bantuan pula, MRA akan menyampaikan sejumlah RM 300,000 lagi untuk rakyat Gaza yang terkesan dengan kekejaman ini. Bantuan ini akan melibatkan bantuan berbentuk sumbangan wang tunai, bahan bakar api dan petrol, selimut dan kelengkapan memasak seperti dapur dan gas memasak, bakul bantuan makanan, bekalan perubatan, kit kebersihan kesihatan dan bekalan air bersih. Dijangka penerima bantuan ini akan mencecah kepada 1000 buah keluarga melibatkan 5,000 jumlah penerima bantuan.

Bagi fasa ketiga bantuan, MRA akan menumpukan bantuan berbertuk perubatan khsusnya bantuan kepada mangsa perang, dengan kerjasama rakan persatuan NGO perubatan yang bernaung bersama MRA di Mesir, Gaza dan Jordan di bawah Federation of Islamic Medical Association (FIMA). Ini merupakan persatuan perubatan Islam antarabangsa yang mana MRA adalah merupakan ahli bersekutu sejak tahun 2017. MRA menyasarkan sebanyak RM 200,000 dapat diperuntukkan bagi fasa ketiga ini.

Bantuan ke Gaza bukanlah satu perkara baru buat MRA. Pada tahun 2012 sehingga pertengahan 2013, MRA telah menganjurkan latihan klinikal kepada lima orang doktor pakar dari Gaza selama 9 bulan bagi mendalami kemahiran latihan sub-kepakaran mereka. Program ini telah ditaja oleh MRA dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Gaza dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bertujuan untuk menambah pengalaman dan meningkatkan lagi tahap kemahiran merawat pesakit yang sukar dirawat. Ini adalah program perubatan berimpak tinggi yang julung-julung kalinya diadakan oleh mana mana NGO Malaysia setakat ini. Setelah tamat latihan, kelima-lima doktor pakar tersebut kembali semula ke untuk menyumbang bakti mereka kepada rakyat Palestin di Gaza. Sehingga ke hari ini, MRA masih mengekalkan hubungan baik dengan doktor pakar tersebut melalui media sosial.

Kemusnahan di Gaza akibat serangan ganas tentera Zionis Israel baru-baru ini.

MRA ingin menegaskan di sini bahawa pengurusan bantuan kewangan kepada negara Palestin dijalankan dengan penuh tanggungjawab, akauntabiliti dan dengan tadbir urus yang baik. Segala sumbangan yang dihantar akan diuruskan dengan intergriti melibatkan pelaporan kewangan dan dokumentasi yang tersusun. MRA telah membantu Gaza sepanjang 12 tahun penubuhannya melalui pelbagai jaringan antarabangsa bersama NGO tempatan yang berdaftar dan boleh dipercayai.

Kepada mererka yang ingin membantu meringankan beban rakyat Palestin, MRA mengalu-alukan sumbangan kewangan ke ‘Tabung Bantuan Kecemasan Untuk Palestin’ melalui akaun Malaysian Relief Agency Berhad – no akaun Maybank 5640 9820 8020 atau sila hubungi no tel 013-337 1672 atau layari akaun facebook Malaysian Relief Agency untuk maklumat lanjut.

Dr Mohd Daud Bin Sulaiman,
Presiden.

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button