Nasional

Tak masuk akal sidang Parlimen satu hari, tiada soal jawab – Teresa

AHLI Parlimen DAP, Teresa Kok mempersoalkan, adalah tidak masuk akal sidang Parlimen pertama 18 Mei ini hanya diadakan sehari tanpa sebarang soal jawab lisan, soalan bertulis, usul dan persidangan khas.

Beliau yang terkejut menerima e-mel dari Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat itu berkata, ia sama sekali tidak dapat diterima dan bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen yang sekian lama wujud.

“Kerajaan Perikatan Nasional tidak memiliki asas yang sah untuk mengehadkan sesi parlimen hanya satu hari kerana walaupun terdapat perintah kawalan berikutan pandemik Covid-19, akhir-akhir ini kita melihat banyak negara demokrasi, seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat mengadakan sesi parlimen biasa.

“Malah, Korea Selatan bahkan mengadakan pilihan raya umum (pada hari Rabu) di bawah sekatan pandemik yang teruk.

“E-mel yang dihantar oleh setiausaha Dewan Rakyat itu mengatakan tidak akan ada “sesi soal jawab lisan, soalan bertulis, usul dan persidangan khas” dalam satu hari persidangan itu.

“Sebab yang disebut dalam surat dari Parlimen tidak munasabah dan tidak masuk akal,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Persidangan itu yang pada awalnya dirancang pada 9 Mac kemudian ditangguhkan sehingga 18 Mei, akan diadakan hanya sehari kerana pelaksaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memerangi penyebaran Covid-19, yang setakat ini mencatat 86 kematian.

Menurut Teresa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tanpa rasa malu dan terang-terangan menunjukkan penghinaan terbuka terhadap peranan dan fungsi parlimen.

“Kerajaan sedang berusaha menghalang dan melemahkan peranan Parlimen yang sah dan konsep pemisahan kuasa, dalam menghalang perbahasan mengenai pakej rangsangan.

“Kerajaan secara terang-terangan berusaha meranapkan melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM 250 bilion (bersamaan dengan anggaran bajet setahun Malaysia), melalui “pintu belakang”, tanpa meminta persetujuan yang sewajarnya dari parlimen,” tambahnya.

Sebelum ini Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Parlimen tidak boleh dikuarantin kerana ia diperlukan untuk sebuah kempen untuk kepercayaan, solidariti, dan perpaduan untuk menggerakkan usaha nasional yang melangkaui kaum, agama, ataupun politik demi memenangi peperangan melawan Covid-19.

Beliau yang sentiasa mendesak diadakan sidang khas Dewan Rakyat berkata, ia perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada strategi penting untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

“Persidangan khas Parlimen akan menghadapi tugas penting dalam memperkasakan infrastruktur kesihatan awam negara bagi memastikan kita boleh memberikan perlindungan secukupnya kepada para petugas barisan hadapan.

“Dan untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan, penjejakan, dan rawatan; untuk merancang program yang boleh membantu golongan dan sektor terpinggir yang terjejas teruk dengan PKP dan untuk merancang satu strategi keluar untuk negara kita,” kata Kit Siang.

BACA

– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button