Politik

Kit Siang gesa sidang khas parlimen rangka strategi tangani COVID-19

LIM KIT SIANG menggesa supaya diadakan sidang khas parlimen bagi merangka strategi untuk mengangani penularan COVID-19 terus meningkat.

Pemimpin veteran pembangkang itu berkata, dalam tempoh 24 jam yang lepas, pemecutan penularan global wabak Covid-19 terus meningkat.

Virus berkenaan, katanya, mengambil 67 hari untuk merekodkan 100,000 kes yang pertamanya, 11 hari untuk 100,000 kes kedua, empat hari untuk 100,000 kes ketiga, tiga hari untuk 100,000 kes keempat, dua hari untuk 100,000 kes kelima, dan sehari untuk mencapai 100,000 kes keenamnya.

“Kini terdapat sejumlah 721,412 kes yang disahkan di peringkat global, dengan 33,956 kematian dan 151,004 kes yang sudah pulih. 24 jam sebelum angka ini dicapai, jumlah keseluruhan kes global adalah 662,751 kes,” katanya.

Keseluruhan kes aktif global buat masa ini adalah 536,452 kes.

Sepuluh negara teratas dengan jumlah kes tertinggi menurut laman web https://www.worldometers.info/coronavirus/ adalah seperti berikut:

AS: 139,904 kes, 2,449 kematian
Itali: 97,689 kes, 10,779 kematian
China: 81,439 kes, 3,300 kematian
Sepanyol: 80,031 kes, 6,802 kematian
Jerman: 62,095 kes, 525 kematian
Perancis: 40,174 kes, 2,606 kematian
Iran: 38,309 kes, 2,640 kematian
UK: 19,522 kes, 1,228 kematian
Switzerland: 14,829 kes, 300 kematian
Belanda: 10,864 kes, 771 kematian

Di Malaysia pula, ujar Kit Siang, kita mencapai tahap baharu dengan peningkatan 150 kes yang membawa jumlah keseluruhan kepada 2,470 kes dengan lapan kematian baharu membawa jumlah kematian keseluruhan kepada 35.

“Lebih banyak negara di serata dunia kini di bawah perintah berkurung akibat penularan pantas wabak Covid-19.

“Ibu negara Nigeria, Lagos dan bandar Abuja kini sedang menjalani perintah berkurung, begitu juga dengan Moscow yang akan ditutup mulai esok, mengurung hampir 12 juta penduduk bandar tersebut di rumah mereka, manakala Itali akan melanjutkan perintah berkurungnya melepasi 3 April.

“Di United Kingdom, kerajaan telah memberikan amaran yang “kehidupan normal” mungkin tidak akan kembali dalam tempoh enam bulan yang mendatang, dan unit rawatan rapi untuk pesakit coronavirus kini dihadkan kepada mereka yang mempunyai “kemungkinan munasabah” akan kekal hidup.

“Antara perkara yang menjadi kerunsingan adalah peratusan tinggi petugas perubatan dan barisan hadapan yang terjangkit dengan wabak ini,” katanya.

Di Sepanyol, kata beliau, dijangkakan sehingga 14 peratus ataupun lebih kurang 5,400 daripada jumlah kes wabak ini terdiri daripada para petugas kesihatan.

Masalah ini lebih runcing di Eropah, memandangkan hanya dalam minggu lepas dilaporkan di Itali, Perancis, dan Sepanyol lebih daripada 30 orang petugas kesihatan telah terkorban akibat wabak Covid-19 ini, dan beribu lagi yang lain terpaksa mengasingkan diri mereka.

Namun perkembangan yang paling menyayat hati adalah laporan daripada kerajaan United Kingdom yang mengatakan bahawa mereka dikira telah melakukan yang terbaik jika mereka berjaya mengekalkan jumlah kematian akibat Covid-19 di bawah paras 20,000 nyawa. Jumlah korban keseluruhan United Kingdom buat masa ini adalah 2,606 nyawa.

Jika di UK mereka melihat 20,000 kematian sebagai kayu ukur mereka, apakah kayu ukur bagi pihak berkuasa di Malaysia?

Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jumaat lepas telah mengecewakan ramai kerana tidak mencapai strategi “melakukan apa sahaja”.

Pakar ekonomi Profesor Terence Gomez menimbulkan persoalan mengapa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak dimanfaatkan dalam satu strategi untuk menggerakkan semula ekonomi negara.

Malaysia kata Kit Siang, perlu mempelajari pengajaran daripada Korea Selatan, China, United Kingdom dan Itali dan memanggil satu persidangan khas Parlimen untuk merangka satu strategi untuk meratakan lengkungan penyebaran Covid-19 dan lengkungan kemelesetan ekonomi yang disebabkannnya

“Saya telah menyeru untuk satu strategi yang “tegas, kreatif, fleksibel, dan lincah” untuk menangani pelbagai cabaran wabak Covid-19, dan dalam semangat strategi ini, saya menyeru supaya Muhyiddin mengambil pakai cadangan daripada persatuan civil dan NGO supaya semua NGO yang telah sebelum ini mengedarkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan bantuan-bantuan lain dibenarkan untuk meneruskan aktiviti mereka dengan satu cara yang selamat dan bertanggungjawab, dengan kerjasama penuh kerajaan, dan dengan mematuhi panduan kesihatan dan keselamatan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Pihak kerajaan perlu sedar terdapat banyak golongan memerlukan yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini dan kini sedang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keperluan asas seperti bahan makanan.

“Komuniti ini termasuklah golongan B40, golongan miskin bandar dan luar bandar, rakyat Malaysia yang telah kehilangan punca pendapatan akibat PKP, warga emas, mereka yang tidak boleh keluar rumah, orang sakit, anak yatim, Orang Asli, pekerja warga asing, warga pelarian, dan ramai lagi.

“Muhyiddin harus ingat bahawa era “kerajaan tahu semua” sudah berakhir,” kata Kit Siang.

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button