Sukan

Tahap kecergasan pemain Melaka meresahkan jurulatih

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 28 Mac – Melaka United tewas 2-3 kepada Terengganu dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat,
malam semalam.

Aksi skuad bimbingan jurulatih import dari Bosnia Herzegovina, Ristro Vidakovic nyata longlai selepas
seramai 15 pemain termasuk pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Tempoh kuarantin selama tujuh hari dilalui oleh pemain skuad Sang Kancil hingga aksi bertemu Terengganu
menjadi ujian awal. Nyata kesebelasan yang diturunkan dilihat kurang cergas.

Vidakovic mengakui rasa resah dengan prestasi skuad itu selepas pemainnya positif Covid-19 baru-baru ini.

Menurutnya, situasi yang tidak diduga itu menyebabkan pemain tidak menjalani latihan selama seminggu dan
tahap kecergasan tidak mencapai tahap memuaskan.

Beliau berkata, kekalahan Terengganu FC membuktikan tahap kecergasan pemain belum mencapai tahap 100
peratus.

Katanya, pemain dilihat masih mencari rentak terbaik selain keserasian antara satu sama lain yang belum
mencapai tahap tertinggi, dikenal pasti antara faktor pasukan bimbingannya tunduk kepada Terengganu.

“Saya tidak mahu salahkan pemain kerana kita berdepan situasi getir yang dihadapi apabila terpaksa berehat
selama seminggu selepas ramai pemain disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

“Macam-macam terjadi daripada sesi latihan pra-musim yang terlalu singkat, pemain import lewat tiba dan
beberapa masalah dalaman pasukan tetapi saya yakin dalam sedikit masa dapat mengadunkan barisan yang cukup
mantap.

“Tumpuan latihan lebih kepada untuk meningkatkan tahap kecergasan menjelang pertemuan dengan PIB dalam
saingan pusingan pertama Piala FA di gelanggang sendiri, Khamis ini,” ujarnya ketika ditemui selepas
pertemuan dengan Terengganu FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Jurulatih dari Bosnia Herzegovina itu mengakui, corak taktikal belum dapat diterjemahkan sepenuhnya oleh
pemain namun ruang untuk memperbaiki segala kelemahan masih ada.

Justeru katanya, pertemuan dengan PIB menjadi sandaran untuk barisan pemainnya dapat mempamerkan aksi
terbaik dan mencatat kemenangan ke atas kelab itu.

Ujarnya, kemenangan itu amat panting untuk menjadi moral semangat buat pemainnya menjelang pertemuan Liga
Super berdepan Sabah pada 5 April ini di gelanggang sendiri.

Untuk rekod, Melaka kini menduduki tangga kelapan Liga Super mengutip satu mata selepas tewas kepada PJ
City 0-1 dalam aksi pertama dan seri 1-1 dengan Pulau Pinang.

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button