Nasional

Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP bantu rakyat miskin

TABUNG Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) merupakan satu platform menyeru orang ramai khususnya ahli korporat dan perniagaan untuk terus berganding bahu menyumbang bantuan demi kemajuan dan pembelaan rakyat miskin di Wilayah Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, YWP akan mengagih-agihkan sumbangan yang diterima melalui program-program dan skim-skim kebajikan dan pendidikan yang ada kepada golongan rentan yang kebanyakannya mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

WARGA kota Wilayah Persekutuan hidup dalam kemiskinan lebih terbela dengan Kerajaan Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani dan kini adanya Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) .- GAMBAR SUARA MERDEKA

 

“YWP juga dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan khususnya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan akan terus mengenal pasti golongan rentan yang boleh diberdayakan semula sekali gus dapat menghapuskan jurang kemiskinan bandar yang menjadi barah dalam masyarakat hari ini.

“Melalui bantuan yang disumbangkan, dalam jangka panjang, akan berjaya mengeluarkan rakyat dari garis kemiskinan bandar dan akhirnya mereka pula akan didorong untuk menyumbangkan bakti untuk generasi masa depan,” katanya.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau berkata, ramai dari kalangan rakyat Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masih lagi bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Di sinilah pentingnya peranan YWP yang selama ini telah membantu golongan rentan melalui lima konsep program utamanya iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi atau singkatannya PESAT,” ujar beliau.

Berkaitan dengan pendidikan, kata Perdana Menteri lagi, YWP melalui lebih daripada 20 skim bantuan pendidikan yang merangkumi pelajar sekolah rendah, menengah sehingga ke menara gading.

“Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, YWP telah membelanjakan hampir semua tabungan mencecah lebih RM100 juta melalui pelbagai bentuk program kebajikan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada semua kaum, khususnya waktu penularan wabak pandemik Covid-19.

“Ini menunjukkan bahawa peranan yang dimainkan oleh YWP tidak boleh disangkal dan saya percaya pelancaran tabung ini boleh dikatakan antara titik penyerlah dalam merangkumkan penyertaan golongan korporat dan orang perseorangan dalam meneruskan ikhtiar secara bersepadu untuk membantu golongan miskin bandar dan mereka yang amat memerlukan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Anwar berkata, majlis pada hari ini dianggap sebagai ‘milestone’ yang penting hasil dari usahasama dengan agensi kerajaan dan badan korporat yang menjadi ‘benchmark’ dalam membudayakan nilai Ihsan, seperti mana yang terkandung di dalam kerangka Malaysia Madani.

Kerangka Malaysia Madani yang dilancarkan pada 19 Januari lalu memberi tumpuan terutamanya kepada tadbir urus yang baik, pembangunan mampan dan keharmonian kaum di negara di mana ia turut merangkumkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar dan kemiskinan bandar, katanya.

“Kerajaan juga sedang giat melaksanakan usaha berkenaan melalui pelbagai program berimpak tinggi seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diketuai oleh Kementerian Ekonomi.

“Namun pada masa sama kerajaan juga memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak untuk memberdayakan golongan sasar supaya jumlah golongan ini dapat dikurangkan sekali gus menggalakkan mereka untuk terus berusaha melangkaui kesukaran dalam meneruskan kehidupan,” katanya.

Tambah beliau, sejak merdeka, perjuangan sebenar kerajaan adalah memerangi kemiskinan dan memperkasa pendidikan.

“Kedua-dua perkara ini merupakan tunjang kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara.

“Kerajaan tidak mahu ada kesenjangan yang ketara antara golongan kaya dan miskin. Ini adalah selari dengan objektif penubuhan tabung ini yang senada dengan hasrat kerajaan,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tabung ini menzahirkan sifat Rahmah dengan memupuk sikap ihsan semua pihak tanpa mengira latarbelakang kaum mahupun politik.

“Sudah menjadi hasrat Kerajaan hari ini untuk memastikan kesalinghubungan antara golongan berkemampuan dengan golongan fakir miskin dapat ditautkan bagi  membolehkan jurang kemiskinan ini dikurangkan.

“Dengan adanya Tabung Kebajikan dan Pelajaran ini, ia dapat mengintegrasikan dua golongan ini agar kekayaan yang dikecapi dapat jua dikongsi bersama,” katanya.

Beliau berkata, tabung ini juga merupakan pemangkin yang boleh merubah sistem pengkelasan masyarakat dan ia boleh melonjakkan penerima manfaat untuk lebih berdaya saing, berdaya cipta dan menghidupkan semula harapan untuk mengubah kehidupan yang lalu menjadi lebih baik selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Di sini jelas empat perkara yang disebutkan ini merupakan masalah yang harus ditangani oleh semua kaum agar golongan miskin khususnya di bandar-bandar dapat dibela dan pihak korporat dan pendiri perniagaan, usahawan dan golongan konglomerat mestilah turut berperanan untuk merawat masalah ini agar ia tidak menjadi masalah yang tidak berpenghujung.

Kerjasama yang terjalin ini tidak hanya tertumpu kepada fasa sumbangan sahaja malah ia wajar dilanjutkan ke fasa pembentukan sikap dan jati diri,” katanya.

Oleh demikian, Perdana Menteri menyeru kepada syarikat-syarikat yang terlibat dapat memberikan peluang kepada penerima manfaat ini untuk bekerja dan dilatih agar mereka dapat berdikari dan berjaya di masa hadapan.

“Perkembangan ini sekali gus membuktikan kejayaan Yayasan Wilayah Persekutuan menjadi entiti rasmi dalam menyediakan program-program yang begitu tersusun dan berimpak tinggi dalam telah membelanjakan lebih ratusan juta demi kemajuan warga Wilayah Persekutuan.

“Ia atas pasti akan menjamin kualiti serta kelestarian perkhidmatannya sekali gus dapat membantu lebih ramai warga di masa akan datang,” katanya. – SM

BACA Tabung Ekonomi Asia langkah untuk perkukuh kerjasama kewangan serantau

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button