Ekonomi

Syarikat logistik terima padah akibat pemandu elak bayar cukai

PLUS mengingatkan para pemilik kenderaan, terutama sekali pemilik kenderaan berat, yang menggunakan lebuh raya kendalian PLUS supaya bertanggungjawab terhadap perlakuan pemandu dan/atau pekerja mereka sekiranya pemandu dan/atau pekerja mereka didapati gagal membayar tol sewaktu menggunakan lebuh raya.

Terbaharu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa sebuah syarikat logistik telah dipertanggungjawabkan dengan liabiliti vikarius (vicarious liability) bilamana pemandu dan/atau pekerja syarikat terbabit gagal untuk menjelaskan jumlah tol yang telah ditetapkan.

Terdahulu, Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) telah membuat tuntutan terhadap sebuah syarikat logistik, Berjasa Logistics Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Sin Kung Logistics (KL) Sdn Bhd) yang melibatkan 19 buah kenderaan milik syarikat berkenaan yang dipandu oleh pemandu-pemandu syarikat tersebut telah dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu.

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berikutan rayuan syarikat Berjaya Logistics Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS sebanyak RM518,369.27 dengan kos sebanyak RM100,000.00 susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya PLUS.

PLUS memandang serius tindakan segelintir pemandu kenderaan yang dengan sengaja mengelak untuk membayar tol. PLUS juga memohon kerjasama semua syarikat logistik dan pemilik kenderaan berat supaya memandang serius perkara ini dan seterusnya memantau tindakan pemandu dan/atau pekerja mereka.

Di samping itu, PLUS telah mengenalpasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan berat dan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Pada masa yang sama, PLUS juga berkolaborasi bersama-sama pihak berkuasa yang berkenaan bagi membendung kejadian penipuan pembayaran tol di lebuh raya. – SM

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button