fbpx
Nasional

Surat Ismail Haniyeh kepada umat Islam: 1 Julai tanah Palestin dirampas lagi

PERDANA Menteri Palestin, Ismail Haniyeh menghantar surat kepada pemimpin dan umat Islam diseluruh dunia mengenai ancaman terbaharu Israel ke atas tanah suci umat Islam itu.

Surat yang turut dihantar kepada Presiden UMNO Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui wakilnya, Muslim Imran mendedahkan pelan merampas 30 peratus tanah Tebing Barat dan Lembah Jordan bagi penempatan haram Yahudi bermula 1 Julai ini.

Menurut Ismail, tanah tersebut adalah kawasan penting sumber pertanian dan air bagi penduduk Palestin.

“Jika dirampas Israel, rakyat Palestin akan lebih terancam dengan kehilangan sumber makanan dan air. Israel sengaja memilih kawasan ini bagi melakukan penghapusan etnik Arab-Palestin.

“Sekali lagi tanah milik ummah akan dijarah dan dicuri serta diiktiraf sebagai milik kuasa penjajah,” kata Ismail.


Pemimpin Hamas itu memberi penekanan pada hal-hal pencabulan keji hak asasi manusia oleh regim Israel ke atas Palestin.

Rancangan tersebut juga, menurut Ismail, seolah-olah memberi lesen kepada Tel Aviv untuk meneruskan kekejamannya dengan sokongan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

“Pelan provokatif Israel pada 1 Julai ini seolah-olah dihalalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mampu menyekat kuasa veto Amerika bagi masyarakat dunia mengecam rejim Yahudi ini,” kata Ismail.

Pemimpin Hamas itu mahu semua kerajaan Islam, parti politik dan organisasi di seluruh dunia sepakat memperjuangkan hak rakyat Palestin menerusi pelbagai pendekatan termasuk persidangan dan pelan khas.

Surat yang menekankan tujuh perkara itu menyatakan Ismail mahu semua parti dan organisasi politik Arab dan Islam menolak serta menyekat aktiviti normalisasi hubungan Israel dengan mereka berikutan pelan penjajahan Kerajaan Zionis itu.- SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button