Ekonomi

Prestasi eksport Malaysia mampu catat peningkatan – AmBank

AMBANK Research meramalkan prestasi eksport Malaysia mampu meningkat di masa depan, didorong oleh pemulihan sederhana sektor semikonduktor pada masa sama.

Dalam nota penyelidikan hari ini, ia berkata, pandangan optimis itu sebahagiannya menyusuli keputusan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak industri menyambung semula operasi masing-masing dengan ada di antaranya telah mencecah kapasiti penuh sejak 4 Mei lalu.

Pelabuhan Klang nadi pembangunan ekonomi, perdagangan | Bisnes ...

Ini jelas dipaparkan menerusi peningkatan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei lepas yang menjadi petunjuk awal bahawa kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19 berkemungkinan mulai reda.

PMI IHS Markit Malaysia meningkat kepada 45.6 pada Mei 2020 berbanding paras terendah pada 31.1 menerusi tinjauan pada April 2020.

Syarikat-syarikat di negara lain juga bertindak meningkatkan operasi perniagaan di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Lebihan dagangan Malaysia meningkat semula pada Mei kepada RM10.4 bilion iaitu kenaikan sebanyak 14.7 peratus bagi tahun ke tahun, didorong oleh penyusutan ketara import berbanding eksport dan merupakan peningkatan besar berbanding defisit sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Malah, lebihan dagangan pada Mei itu adalah angka bulanan tertinggi dicatatkan sejak Mei 2008 dan kali keempat bagi Malaysia merekodkan lebihan melebihi RM10 bilion tahun ini.

Sementara itu Kenanga Research (Kenanga), cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank mengekalkan unjuran eksportnya bagi 2020 pada -15.0 peratus sehingga -10.0 peratus berbanding -1.7 peratus berikutan kelemahan permintaan asing.

“Meskipun tahap penurunan eksport dijangka pulih susulan pembukaan semula ekonomi, kelemahan permintaan luaran sebaliknya terus wujud.

“Risiko penyusutan itu dijangka diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitik dalam kalangan negara-negara besar (termasuk pertikaian Amerika Syarikat (AS)-China dan AS-Kesatuan Eropah) selain penularan semula kes jangkitan Covid-19 di beberapa negara eksport utama,” kata Kenanga.

Menurutnya, walaupun pelaburan persendirian dan aktiviti penggunaan lemah di tengah-tengah peningkatan mendadak kadar pengangguran yang hanya menjejaskan lagi ekonomi, impak kelonggaran sekatan dan pembukaan semula ekonomi pula masih di tahap awal.

Kenanga turut mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 pada -2.9 peratus (2019: 4.3 peratus).

Dalam pada itu,  Maybank IB Research turut mengekalkan unjuran terhadap Malaysia yang masing-masing membabitkan eksport tahun penuh pada -8.8 peratus, import (-9.5 peratus) dan lebihan dagangan (RM131 bilion) berikutan ketidaktentuan serta kelembapan pemulihan ekonomi global. – BERNAMA

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button