Nasional

Sumbangan korporat dapat majukan sekolah

Komuniti dan korporat disaran membantu pihak sekolah dalam menjayakan pelbagai program dan memajukan prasarana sekolah yang sekali gus dapat menyumbang ke arah peningkatan prestasi akademik murid.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata demikian ketika merasmikan sambutan program Hari Terbuka, Ulang Tahun Pertama Pejabat Pendidikan Daerah Muallim dan Sambutan Kemerdekaan Ke-65 di sini semalam.

Dr Mah menulis 65 tahun dengan gula icing sejurus merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 sempena program Hari Terbuka, Ulang Tahun Pertama Pejabat Pendidikan Daerah Muallim dan Sambutan Kemerdekaan Ke-65 di Dewan Sekolah Menengah kebangsaan Katholik, Tanjung Malim.

Beliau membonceng motorsikal berkuasa tinggi dari PPD Muallim di Slim River ke Sekolah Menengah Kebangsaan Katholik, tempat berlangsungnya program yang dihadiri lebih 2,000 guru dan ibu bapa itu.
Dalam ucapannya Dr Mah Hang Soon berharap kalangan korporat mengambil inisiatif membantu pihak sekolah dan guru menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sekolah selaraskan dengan perkembangan pendidikan.

Dr Mah menyeru kalangan korporat memberi sumbangan dana untuk diagihkan kepada sekolah rendah dan menengah dalam menjayakan pelbagai program dan memajukan prasarana.

Mah Hang soon tertarik dengan persembahan ukulele secara santai oleh murid Sekolah Kebangsaan Proton City.

Justeru, katanya, kewujudan kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dapat berperanan menjayakan usaha ini kerana PIBKS menjadi penghubung dengan pihak sekolah khususnya di Daerah Muallim.

Pada majlis anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Muallim itu, beliau turut memotong kek sambutan kemerdekaan ke-65 serta menyerahkan sumbangan Tabung UPSI Prihatin kepada enam pelajar B40 Sekolah Menengah Kebangsaan Katholik serta menyerahkan replika cek RM64,548 sumbangan korporat kepada SMK Katholik.

Persembahan tarian tradisional melibatkan pelajar pelbagai kaum menarik perhatian Dr Mah.

Selain itu beliau menyarankan agar ibu bapa meluangkan masa selama 30 minit sehari membaca bersama bersama anak-anak bagi memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

“Saya yakin amalan mengulang kaji dan mendengar cerita anak-anak tentang pembelajaran mereka sangat membantu sekali gus dapat memantapkan prestasi akademik mereka kerana mendapat sokongan dan perhatian ibu bapa,” katanya.

Dr Mah berbual dengan guru dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, Mohd Sabry Deraman.

Beliau berkata program dua hari itu juga memberi peluang meraikan kehandalan, bakat dan kemahiran anak-anak yang menampilkan persembahan silat, muzik, tarian serta hasil kerja inovasi hasil kegigihan pemimpin sekolah dan guru-guru sekitar daerah Muallim membimbing mereka.

“Guru-guru ternyata berjaya memainkan peranan membentuk sahsiah, rohani, serta kokurikulum murid sehingga menampilkan persembahan yang hebat dan menarik,” katanya.

Majlis diserikan persembahan tarian tradisional oleh pelajar SMK Katholik dan muzik oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist yang mendapat pujian Dr Mah.

Dr Mah menyampaikan sumbangan Tabung Prihatin UPSI untuk pelajar B40 Sekolah Menengah kebangsaan Katholik, Tanjung Malim.

Semangat menjayakan program itu, katanya, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan Sekolah Sejahtera demi melonjakkan sektor pendidikan di daerah Muallim sebagai daerah ilmu.

Terdahulu Pegawai Pendidikan Daerah Muallim, Hamizah Abdul Hamid dalam ucapannya melahirkan kebanggaan atas inisiatif guru-guru daerah Muallim yang komited menjayakan program yang mendapat sambutan masyarakat setempat apalagi dalam atas kebersamaan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Hadir sama, Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad; ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli; Pengerusi, PIBKS Muallim, Prof Madya Dr Ghazali Din serta Pengarah Akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr Abdul Rahim Razalli.

Sempena program yang berlangsung pada 27 dan 28 Ogos itu, diadakan Cabutan Bertuah, Sukan Sihat (Futsal), Pertandingan Mewarna Kemerdekaan Murid Taska dan tadika, Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan serta 46 Pameran Pencapaian dan Inovasi Sekolah sekitar daerah Muallim.

(Visited 501 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button