Nasional

Sultan Ibrahim sumbang 42 ventilator bagi kegunaan hospital di Johor

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 42 ventilator bagi kegunaan hospital di seluruh negeri Johor.

Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Aman Rabu. Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Azmi Rohani.

Sultan Iskandar bertitah, sumbangan berkenaan disampaikan Baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Bantuan ventilator yang kita sampaikan ini juga merupakan sumbangan daripada dermawan dan juga rakan-rakan saya lain.

“Saya amat memahami pada situasi masa kini, hospital-hospital amat memerlukan peralatan ini khususnya bagi kegunaan pesakit.

“Ini merupakan kerjasama di antara saya, rakan-rakan, dermawan dan juga kerajaan negeri bagi bersama-sama mengurangkan beban kerajaan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, ventilator berkenan akan diagihkan oleh Pengarah Kesihatan Johor kepada hospital-hospital awam di seluruh Johor mengikut keperluan.

“Bukan mudah untuk mendapatkan peralatan ini lebih-lebih lagi ketika musim penularan wabak COVID-19. Kita berusaha keras untuk mendapatkannya.

“Jika ada lagi pihak yang sudi untuk memberi sumbangan kepada YSIJ, kita mungkin dapat mengusahakan lebih banyak untuk kegunaan hospital-hospital,” titah Baginda.

Ventilator merupakan alat bantuan pernafasan yang digunakan bagi membantu pesakit bernafas ketika paru-paru mereka tidak dapat berfungsi dengan baik.

Dengan penularan pantas wabak COVID-19, kebanyakan negara memerlukan pertambahan mendadak ventilator untuk diletakkan di hospital-hospital untuk kegunaan pesakit.

BACA

Sebelum ini Yayasan Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) telah menyumbang 1,050 unit Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bernilai RM150,000 kepada empat hospital di Johor untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim berkata, sebanyak 400 unit PPE disumbangkan kepada Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail (250 unit), Hospital Permai (150 unit) di Johor Bahru manakala Hospital Kluang menerima 250 unit PPE.

Sumbangan itu adalah daripada dana sebanyak RM1 juta yang diterima YRZSNJ daripada Yayasan Amal Ng Teng Fong (NTFCF) di Singapura pada minggu lepas. -SM

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button