Nasional

Suami isteri maut dirempuh MPV hilang kawalan

PASANGAN suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang hilang kawalan di Kilometer (Km) 329 jalan alternatif Kuala Lumpur – Kota Baharu di Raub, kira-kira 170 kilometer (km), dari Kuantan, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supritendan Kamarulzaman Jusoh, berkata kejadian berlaku pada 7.50 pagi dan mangsa yang maut ialah Azizan Ismail, 60, dan Che Norzihan Mohd Nor, 51, yang berasal dari Felda Tersang, Raub.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu Azizan dari Tersang menuju ke Raub dirempuh oleh kereta Perodua Alza dinaiki tiga sekeluarga dari arah bertentangan.

“Kereta Alza itu dikatakan tergelincir di bahu jalan menyebabkan ia hilang kawalan dan merempuh kenderaan mangsa yang tidak dapat mengelak kerana jarak terlalu dekat,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Kamarulzaman berkata pemandu Alza adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 34 tahun dan anak perempuannya yang berusia dua tahun masing-masing dilaporkan patah kaki.


Isterinya yang bekerja sebagai jururawat dan beralamat di Kampung Jelu, Dong, Raub berusia 30 tahun tidak cedera.

Jenazah suami isteri itu dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

(Visited 117 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button