MahkamahNasional

SPRM tahan penjawat awam minta habuan RM100,000

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah RM100,000 untuk projek berkaitan dengan sanitasi pusat mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Menurut sumber yang memaklumkan FMT hari ini, pegawai berusia 30-an itu disyaki meminta habuan sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja-kerja berkaitan sanitasi pusat mengundi.

“Suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu awal tahun ini bagi kerja-kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari yang berakhir hari ini.

Bagaimanapun Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan lepas reman terhadap suspek dengan menetapkan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin hari ini. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button