Sorotan 2019: Limpahan berita palsu dalam 2019
TAHUN 2019 yang akan melabuhkan tirainya menyaksikan banyak berita palsu yang berputar di media sosial dan ada kalanya singgah ke media arus perdana, berkat para pelaku yang terlalu sibuk memutar maklumat salah dan orang jahil yang menjadikannya viral.
Rakyat Malaysia masih ingat bagaimana kepalsuan yang disensasikan itu seperti tiga juta rakyat China memasuki negara ini ekoran masalah teknikal di KLIA yang mencetuskan kegilaan dalam medial sosial.
Berita palsu tentang Projek IC Sabah 2.0 sedang dilaksanakan dan Jabatan Pendaftaran Negara mengagihkan MYKad percuma kepada rakyat asing muncul kembali tahun ini seolah-olah menjadi ruji pembohongan yang membelenggu rakyat Malaysia.
Selain itu terdapat juga berita palsu bahawa jalur lebar 5G menjejaskan kesihatan manusia dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangun Masyarakat melaksanakan perintah berkurang lewat malam terhadap remaja dalam usaha mengekang gejala sosial sehingga menimbulkan keperihatinan dalam kalangan masyarakat.
Satu lagi penularan berita palsu yang rakyat Malaysia harus hadapi ialah mengenai isu sesuatu makanan yang didakwa tidak halal atau premis makanan tertentu tidak halal atau status halal ditarik balik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Semua ini merupakan sekelumit daripada senarai panjang berita palsu dalam tahun 2019 .
Pihak berkuasa memerangi kebatilan ini dengan kebenaran menerusi media serta saluran lain termasuk portal sebenarnya.my yang bukan sekadar menegur dakwaan yang karut tetapi juga memberi gambaran yang sebenar.
Melihat bagaimana berita-berita palsu ini menjadi viral, seseorang boleh bertanya sama ada rakyat Malaysia begitu mudah tertipu dan akhirnya menjadi penyedia maklumat yang salah.
Satu kajian oleh Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Unit Kajian Pemilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan rakan penyelidik Azrul Hisyam Wakichan pada Sept 2019 tentang persepsi masyarakat terhadap berita palsu mendapati bahawa masyarakat Malaysia tahu membezakan antara berita palsu dan berita yang benar .
Sungguhpun majoriti 1,960 responden berumur 18 tahun ke atas mengakui bahawa berita palsu menarik untuk dibaca atau ditonton namun mereka tidak mudah terpedaya dengannya dengan 95 peratus mengatakan mereka menolak sebarang berita palsu dan berusaha mendapatkan kesahihan sesuatu berita itu.
Begitu juga, kajian yang merentasi tiga kumpulan etnik utama di seluruh negara – orang Melayu, Cina dan India – juga mendapati lebih daripada 95 peratus responden bimbang dan ingin melakukan sesuatu untuk menghentikan berita palsu kerana mereka takut kepada natijahnya terhadap masyarakat.
Sekiranya rakyat Malaysia boleh membezakan antara berita palsu dan berita sebenar, maka bagaimana berita palsu masih merebak seperti api Apabila ditanya mengenai perkara itu, Syed Arabi memberitahu Bernama, mungkin kerana kepantasan berita palsu itu dihantar melalui media digital yang menarik perhatian rakyat Malaysia.
“Mereka juga hendak cepat berkongsi dan ekoran kesuntukan masa untuk pengesahan fakta, lantas mereka hilang sikap rasional dan akhirnya menjadi sebahagian daripada rangkaian berita palsu. Apabila mereka sedar akan kesilapan yang dilakukan ia mungkin sudah terlambat,” katanya.
Berita palsu bukan sesuatu yang baharu, penciptanya mempunyai motif tersembunyi atau hanya cebisan daripada khayalan mereka. Apa yang jelas menerusi perantara komunikasi maklumat yang baharu menyediakan mereka jangkauan yang lebih bagi mengelirukan khalayak antara kebenaran dan kebatilan.
Justeru mulakan tahun 2020 dengan berfikir dua kali atau melakukan semakan sebelum berkongsi berita sensasi menerusi internet bagi mengelak penularan berita palsu. – BERNAMA