Nasional

SOP, kompaun: Ada isu ‘double standard’ dibangkitkan

ISU mengenai ‘double standard’ yang berlaku dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan denda RM10,000 antara perkara dibangkitkan kepada kerajaan.

Hal berkenaan dibangkitkan kepada kerajaan menerusi pertemuan anggota kabinet bersama pemimpin di peringkat masyarakat dalam program Jelajah Malaysia Prihatin.

Isu ‘double standard’ menjadi persoalan utama yang tular terutama dalam media sosial apabila soal SOP serta denda yang tidak dikenakan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan.

Bagaimanapun, persoalan tersebut didakwa didengari anggota kabinet dan beberapa tindakan susulan diambil termasuklah kaedah pelaksanaan kompaun.

“Ada isu ‘double standard’ yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan pemimpin akar umbi. Mereka menimbulkan soal kompaun.

“Sebab itu baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan soal bagaimana kita melaksanakan kompaun.”

Demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam sidang akhbar hari ini ketika berkunjung ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, Kuala Lumpur.

Katanya, hal tersebut antara maklum balas yang diterima dalam program Jelajah Malaysia Prihatin termasuklah ketika turun padang di Pahang.

Beliau memberitahu, sudahpun turun ke lapan buah daerah di negeri berkenaan bagi bertemu dengan para pemimpin masyarakat.

Antara perkara lain yang turut dibangkitkan dan menjadi keutamaan dalam portfolio beliau adalah soal kesalinghubungan internet serta kempen vaksinasi Koronavirus (Covid-19).

Tambah Saifuddin, isu berkenaan kompaun yang berlegar dalam masyarakat adalah perkara biasa berlaku dalam perundangan.

Namun, langkah terbaik diambil kerajaan adalah memudahkan implementasinya terhadap rakyat.

“Saya tawarkan awak kompaun tidak lebih daripada RM10,000, awak pergi ke tempat untuk bayar (kompaun) dan merayulah.

“Itu adalah proses biasa, tetapi oleh kerana timbul sungutan itu, kita tak mahu pertikai bab undang-undang itu, sebaliknya kita permudahkan sahaja implementasinya,” jelasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button