fbpx
Ekonomi

SME Bank perkenal SRP, bantu 3,000 usahawan terkesan Covid-19

Program Kemudahan PKS (SRP) yang diperkenalkan SME Bank hari ini akan memberi manfaat kepada 3,000 pelanggannya dengan jumlah pembiayaan berjumlah lebih RM1.8 bilion.

Pelaksanaan program itu juga dapat membantu kesemua pelanggan SME Bank selepas tempoh moratorium tamat pada 30 September depan.

Antara sektor perniagaan yang disasarkan di bawah program SRP ialah pelancongan, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan yang terjejas secara langsung dan tidak langsung akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usahawan PKS yang lain juga digalakkan berbincang dengan penyedia pembiayaan masing-masing untuk mendapatkan bantuan pasca moratorium itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Sejak awal pandemik ini bermula, SME Bank secara proaktif telah memainkan peranan dalam membantu sektor PKS yang terjejas melalui penangguhan bayaran pembiayaan dan bayaran sewa bagi Kompleks Premis Usahawannya.


“SME Bank juga turut diberi mandat untuk mengagihkan dua dana melalui PENJANA iaitu Skim SME Go dan Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF).

“Turut diagihkan ialah pelbagai dana lain yang diumumkan kerajaan melalui PRIHATIN seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA> Perodua Myvi, Axia, Bezza paling laris di Malaysia setakat ini pada 2020

Sementara itu, Presiden Kumpulan  dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, semua pelanggan SME Bank sedia ada layak untuk memohon bantuan yang ditawarkan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Dua bentuk bantuan ditawarkan, iaitu Program “Indulgence” merujuk kepada penangguhan ke atas bayaran prinsipal dan bayaran kadar keuntungan pembiayaan.

Presiden Kumpulan  dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

“Kedua ialah program bayaran program bayaran untuk kadar keuntungan sahaja,” ujarnya.

Menurut Aria, pihaknya jua akan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh pembiayaan bagi pelanggan yang layak.

BACA> Bank Muamalat tawar bantuan bayaran kepada kumpulan sasar

Tambahnya, perkara itu bagi membolehkan mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan dan merancang semula pelan perniagaan dengan lebih baik semasa tempoh pemulihan daripada COVID-19.

Pelanggan SME Bank yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Program Kemudahan PKS ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03 – 2603 7700 atau hubungi Pengurus Perhubungan cawangan mereka untuk keterangan lanjut. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button