fbpx
Politik

Tun M harap layanan sama diberikan kepada Guan Eng

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap layanan yang diberikan kepada semua yang menjalani proses pengadilan di mahkamah turut diberikan kepada bekas Menteri Ekonomi Lim Guan Eng.

Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, Guan Eng tidak seharusnya mendapat layanan yang berbeza daripada orang lain yang menjalani proses perbicaraan.

“Beliau telah dituduh, beliau masih belum dibicarakan dan belum didapati bersalah. Oleh itu, kami berharap layanan perlu sama kepada semua orang.

“Anda tidak boleh mendapat layanan istimewa untuk orang ini dan bukan untuk orang itu. Diskriminasi seperti ini bukanlah keadilan. Saya fikir beliau akan menghadapi perbicaraan dan kita (akan) melihat bagaimana beliau diperlakukan,” jelasnya.

Dr. Mahathir  pada sidang media di Yayasan Al Bukhary di Kuala Lumpur turut ditanya.adakan dakwaan bahawa tuduhan ke atas Guan Eng adalah bermotifkan politik.


“Kami cenderung untuk rasa begitu,” jawab Dr. Mahathir ringkas sebelum mengakhiri sidang media.

Lim dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli

Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai ganjaran bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim dituduh membuat kesalahan itu pada bulan Mac 2011, berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur, semasa menjawat jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Pertuduhan ke atas anggota parlimen Bagan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Lim juga akan dituduh untuk kesalahan membabitkan kes terowong yang sama pada 10 Ogos ini manakala 11 Ogos pula untuk kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button