Ekonomi

SME Bank kekal keuntungan pada 2021 dalam situasi mencabar

KETANGKASAN menyesuaikan diri dan bertindak balas dengan pantas terhadap persekitaran yang sentiasa berubah-ubah telah membolehkan SME Bank menambahkan jumlah asetnya menjadi RM11.4 bilion dan mencatatkan peningkatan portfolio pembiayaan kasarnya sebanyak 8.3% kepada RM8 bilion semasa Tahun Kewangan 2021.

Pengerusi SME Bank, Dato’ Seri Nazir Ariff dalam satu kenyataan berkata, “Hasil disiplin kewangan yang kukuh, pendekatan pengurusan risiko yang mantap, serta kedudukan modal yang teguh membolehkan Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM55.3 juta pada 2021 mengatasi sasaran RM28.4 juta.”

Pengerusi SME Bank, Dato’ Seri Nazir Ariff

Dato’ Seri Nazir menambah, “Pada 2021, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM3.5 bilion yang telah memanfaatkan 1,825 usahawan PKS. Daripada jumlah pembiayaan yang diluluskan, 46.4% adalah untuk perniagaan bersaiz kecil dan 35.2% adalah untuk perniagaan bersaiz sederhana. Baki selebihnya sebanyak 8.4% dan 10.0% adalah untuk perusahaan mikro dan perusahaan besar.”

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, “Walaupun berhadapan cabaran yang tidak pernah dilalui sebelum ini dan persekitaran perniagaan yang sukar, SME Bank terus berkembang pada tahun 2021 dan menunjukkan keupayaannya dalam memaksimumkan penggunaan sumber tenaga dan modal insan untuk bertindak balas dan memenuhi keperluan segera para pelanggan. Tiga sektor teratas yang menerima pembiayaan ialah sektor Pemborongan dan Dagangan Runcit, dan Restoran dan Hotel pada kadar 27.5% manakala sektor Pembinaan dan Pembuatan masing-masing pada kadar 17.0%.”

Aria menambah, “Secara khusus, tahun 2021 menyaksikan Bank meluluskan lebih RM400 juta daripada pakej rangsangan PENJANA yang diumumkan Kerajaan yang merangkumi Skim SME Go, Geran Padanan PEMERKASA dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) untuk membantu PKS yang terjejas akibat pandemik.”


“Di bawah Kemudahan Bantuan & Pemulihan Sasaran (TRRF), inisiatif Bank Negara Malaysia yang diperkenalkan pada 2020, Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM150 juta kepada pelanggan yang terjejas pada 2021 dan sehingga kini BNM telah meluluskan jumlah dana sebanyak RM450 juta berikutan permintaan yang tinggi.”

“Usaha penting lain termasuk membantu 175 usahawan mikro dan kecil di bawah Pembiayaan Lestari Bumi (LBF) berjumlah RM63.3 juta, meluluskan RM87.8 juta kepada tujuh usahawan di bawah program Jaguh Serantau dan menerusi MySMELady, program yang bertujuan memperkasakan usahawan wanita, 12 penerima menerima pembiayaan berjumlah RM8 juta.”

“Mengambil maklum bahawa beberapa sektor telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, melalui Program Bantuan SME Bank 2.0 (SRP 2.0), untuk usahawan yang terlibat dalam sektor pengangkutan penumpang, perkhidmatan runcit dan makanan & minuman,  SME Bank telah membantu 311 pelanggan yang layak dengan nilai pembiayaan sebanyak RM248 juta. Selain itu, SME Bank juga menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan serta lanjutan tempoh pembayaran sehingga 12 bulan berkuat kuasa Julai 2021 di bawah inisiatif SRP PEMULIH. Ini telah memanfaatkan 2,751 pelanggan, melibatkan baki jumlah pembiayaan bernilai RM4.37 bilion,” kata Aria.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, (Dr.) Aria Putera Ismail

Di samping menyediakan bantuan kewangan, SME Bank mengamalkan konsep melangkaui pembiayaan dalam memenuhi mandatnya untuk membimbing dan membangunkan PKS. Anak syarikat milik penuh SME Bank yang menyampaikan perkhidmatan penting ini ialah Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. atau CEDAR.

Pada 2021, CEDAR telah menjalankan 140 program bimbingan dan latihan yang melibatkan 6,937 peserta. Bagi pihak Bank pula, program intervensinya menyaksikan 626 syarikat berjaya mencatat peningkatan prestasi ke tahap seterusnya pada 2021. Mereka mencatatkan pertumbuhan daripada segi keuntungan, hasil, peningkatan bilangan pekerja, penggunaan teknologi digital serta memasuki pasaran eksport.

Selaras dengan usaha global dalam memastikan kemampanan perniagaan, SME Bank telah memulakan perjalanan kemampanannya dengan menggabungkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.

Pada 2021, SME Bank telah membangunkan Pelan Hala Tuju Kemampanan 3 tahun 2021-2023 dan berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian sulungnya berjumlah RM500 juta. SME Bank kini sedang dalam proses membangunkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang akan digunakan sebagai garis panduan untuk mencapai matlamat kemampanannya.

SME Bank menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan berkaitan ESG sebanyak RM1 bilion pada 2022.

SME Bank akan terus menyokong PKS melalui pelbagai program pembiayaan sedia ada serta di bawah peruntukan Bajet 2022. SME Bank telah diamanahkan untuk menerajui Dana Permodalan Semula PKS berjumlah RM600 juta dengan kerjasama TERAJU dan Bank Simpanan Nasional.

Kemudahan pembiayaan ekuiti dan kuasi-ekuiti ini dijangka meningkatkan penyertaan PKS dalam aktiviti pembangunan negara pada skala yang lebih besar. Selain itu, sejumlah RM100 juta juga telah diperuntukkan kepada usahawan muda melalui Tabung Usahawan Muda 2.0. Selaras dengan inisiatif Kerajaan untuk menggalakkan automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, RM200 juta telah diperuntukkan di bawah dana Program Promosi Sistem Binaan Berindustri 2.0 (IBS 2.0) untuk kontraktor sehingga kategori G7, pengilang dan pemasang yang layak.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat SME Bank untuk memperkasa golongan Asnaf dan B40 untuk membangunkan perniagaan mikro mereka juga menunjukkan impak positif apabila peserta Program Penjana [email protected] Bank dan ISHRAF berjaya mencatatkan RM5.15 juta hasil jualan pada 2021.

Kedua-dua program ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas memenangi Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Terbaik untuk ISHRAF dan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik untuk Penjana [email protected] Bank daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP). – SM

Artikel berkaitan > HRSB Holdings terima pembiayaan berjumlah RM132 juta dari SME Bank

 

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button