Ekonomi

HRSB Holdings Terima Pembiayaan Berjumlah RM132 Juta Daripada SME Bank

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat kontraktor minyak dan gas Malaysia, HRSB Holdings Sdn. Bhd. (HRSB Holdings) berjaya menerima pembiayaan berjumlah RM132 juta dari SME Bank.

Presiden Kumpulan HRSB Holdings, Datuk Mohd. Faizal Mohd. Hassim berkata, pemberian modal tersebut adalah bagi tujuan modal kerja dan pembelian aset untuk melaksanakan kontrak yang diterima mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pembiayaan dan bimbingan yang diberikan SME Bank membolehkan HRSB Holdings berjaya menjadi kontraktor pilihan dalam industri minyak dan gas di Malaysia antaranya oleh Petronas.

“Dengan adanya tenaga kerja yang cekap serta kemudahan yang lengkap, HRSB Holdings berupaya menjalankan tiga projek Turnaround (TA) pada masa yang sama,” katanya.

Mohd. Faizal berkata demikian sewaktu ditemui pemberita dalam Majlis Penerimaan Pembiayaan RM132 Juta HRSB Holdings daripada SME Bank, di sini.

Turut hadir, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail.

Dalam majlis yang sama, Aria berkata, hubungan perniagaan antara SME Bank dengan HRSB Holdings pada peringkat awalnya bermula melalui pembiayaan Skim Siswazah Muda pada tahun 2007.

“Melihat kepada penilaian serta prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh HRSB Holdings, pihak bank telah menyalurkan bantuan pembiayaan tambahan melalui Pembiayaan Kontrak SME Bank bagi membantu perniagaan mereka berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebagai nilai tambah untuk pelanggan kami, HRSB Holdings turut terpilih untuk menyertai Program TITAN SME BANK, sebuah program pembangunan usahawan peringkat tinggi,” katanya.

(Visited 567 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button