NasionalPolitik

Sistem dua parti elak kecelaruan politik

BENAR secara praktikalnya hak untuk menentukan siapa Perdana Menteri adalah dibuat berdasarkan konsensus parti-parti komponen dalam parti pemerintah.

Yang di-Pertuan Agong secara dasarnya hanya mengesahkan pemilihan yang dilakukan tersebut.

Isu peralihan kuasa terus mewarnai senario politik negara apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan enggan menyerahkan jawatan disandangnya kepada bakal pengganti disebut-sebut sebelum ini – Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Desakan tersebut kian memuncak berikutan kekalahan teruk kerajaan PH pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Johor, baru-baru ini.

Terbaharu, tular pula tangkap layar yang didakwa surat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mengenai usul untuk membahaskan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Di sebalik pergolakan politik tersebut, keadaan ekonomi negara terus terumbang-ambing dengan hutang dan kadar inflasi semakin meningkat.

Ketidakcekapan barisan menteri menangani isu dan kekurangan idea-idea yang bernas turut mempengaruhi persepsi masyarakat umum.

Realitinya peralihan kuasa di peringkat kepimpinan tertinggi jika berlaku tanpa mengikut proses yang betul dan tertib, hanya akan mengundang bencana kepada negara.

Melantik Perdana Menteri baharu juga tidak akan mampu mengubah serta-merta nasib negara dan rakyat menjadi lebih baik seperti diharapkan.

Tindakan ini hanya dapat memuaskan hati pihak-pihak tertentu dan kesan jangka panjang sudah tentulah tertanggung ke atas rakyat juga.

Persoalannya, sampai bila Malaysia harus terus menghadapi keadaan huru-hara politik sebegini?

Maka, pertanyaan selanjutnya yang timbul adalah, mungkin ini adalah masa terbaik untuk kita melaksanakan sistem politik dua parti.

Mengamalkan sistem dua parti bermakna kedua-kedua parti politik terbesar dalam konteks ini – PH dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang sama untuk menerajui negara.

Amerika Syarikat sering dilihat sebagai contoh mudah dalam mengamalkan sistem dua parti ini.

Dua parti terbesar negara itu, Demokrat dan Republikan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik kerana masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk menjadi kerajaan.

Parti yang kalah, diharapkan dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat.

Dalam bahasa mudah, pelaksanaan sistem ini memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang benar-benar efektif selain menghalang monopoli kuasa parti-parti tertentu.

Hakikatnya pandangan ini juga pernah disuarakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam sebelum ini.

Ini kerana katanya, gabungan pembangkang yang kuat adalah baik kepada negara seperti Malaysia.

“Tetapi pembangkang di Malaysia perlu membentuk kerjasama yang boleh menghasilkan satu suara yang padu untuk membentuk polisi dan strategi jika mereka berjaya memegang tampuk kuasa,” katanya.

Hari ini, kita dapat melihat ‘pembangkang’ yang dimaksudkan Musa telah pun menjadi kerajaan.

Maka, jika ingin dilakukan perubahan kepada pilihan raya sistem dua parti, ini adalah masanya.

(Visited 541 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button