Luar Negara

Singapura gesa rakyat kemas meja, pulang dulang selepas makan

SINGAPURA mahu rakyatnya mengamalkan budaya kebersihan yang lebih baik termasuklah mengemas meja sendiri seusai makan di restoran atau medan selera.

Kerajaan republik itu mahu, budaya sedemikian menjadi amalan dalam kalangan rakyatnya dalam mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan pembersihan.

Hal demikian bukanlah sesuatu yang baharu, malah kempennya sudahpun dilancarkan sejak 2013.

Namun ia didapati kurang berkesan apabila tinjauan daripada Singapore Management University (SMU) mendapati satu daripada tiga responden mengatakan membersihkan meja selepas makan adalah tugas pembersih.

Ini termasuklah dekat restoran atau gerai makan yang ditanda dengan kualiti ‘SG Clean’.

Bagaimanapun, inisiatif ‘Return-Your-Tray’ yang dilancarkan sejak tujuh tahun lalu tidak memberi kesan kepada sebilangan besar pengunjung gerai makan.

Sehingga hari ini, menjadi perkara biasa untuk melihat sebilangan besar pengunjung meninggalkan sisa dan tisu yang digunakan setelah makan.

Oleh demikian, Singapura kini sedang bergerak ke arah pindaan undang-undang Kesihatan Awam Alam Sekitar bagi melaksanakan dasar kebersihannya.

“Kami terlalu bergantung pada perkhidmatan pembersihan yang efisien.”

Kata Menteri Kelestarian Alam Sekitar Singapura, Grace Fu dalam ucapannya mengenai Rang Undang-Undang tersebut di Parlimen seperti dilaporkan Channel News Asia (CNA) hari ini.

Tambahnya, kerajaan negara itu juga pernah memperkenalkan sistem deposit 1 Dolar Singapura (SGD) namun masih tidak berkesan.

“Mengapa sukar untuk kita mengembalikan dulang kita? Adakah kita benar-benar memerlukan undang-undang dan denda,” soalnya.

Singapura dilapor membelanjakan kira-kira 120 juta SGD untuk membersihkan kawasan awam setiap tahun.

Menurut laporan itu lagi, sekiranya dikurangkan tanggungan tenaga kerja kebersihan awam, sebahagian kos tersebut dapat digunakan untuk kepentingan lain termasuklah meningkatkan gaji pekerja.

Beberapa inisiatif turut diambil oleh pihak peniaga gerai serta penjaja yang memasang sistem peringatan audio dan video.

Malah ada sebilangan penjaja di gerai makan seperti di Tampines menawarkan mata ganjaran bagi menggalakkan pengunjung mereka mengemas meja dan mengembalikan dulang.

Justeru, mereka menjadikan negara Jepun sebagai contoh dalam amalan ini dalam mendidik tentang kebersihan.

“Anak-anak sekolah di sana diajar dari awal untuk membersihkan bilik darjah mereka, meja makan tengah hari, dan juga tandas di sekolah.

“Malah kanak-kanak seawal empat tahun dapat dilihat menyajikan makan tengah hari kepada rakan sebaya dan membersihkan meja selepas itu.

“Budaya perkhidmatan ini terus disebarkan di rumah, kerana banyak ibu bapa juga mengharapkan anak-anak mereka membersihkan diri,” lapor CNA. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button