Luar Negara

Pelawak biadap, Singapura mohon maaf

KERAJAAN Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara republik itu, Jocelyn Chia.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, beliau sangat terkejut dengan komen-komen menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam sebuah pementasan komedi berdiri baru-baru ini.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pelawak yang berasal dari Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekeh dan menghina rakyat Malaysia dan negara Malaysia menerusi persembahan komedi berdirinya yang disifatkan sebagai melampau oleh netizen.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Dalam masa sama, Vanu Gopal berkata, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang kukuh dan di pelbagai peringkat dengan ikatan yang cukup mendalam.

“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat.

“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegas Vanu Gopal lagi. – SM

BACA Jocelyn Chia pelawak Singapura yang biadap

(Visited 513 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button