Nasional

Covid-19 Banduan kes dadah dipindah ke kem PLKN

SEBAHAGIAN besar kes baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19) yang meningkat akhir-akhir ini adalah disumbang oleh penularan dalam kalangan tahanan penjara.

Oleh demikian, beberapa langkah drastik diambil oleh Jabatan Penjara untuk membendung wabak tersebut termasuk memindahkan banduan ke kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Malah beberapa langkah lain seperti memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) penjara melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara turut dilaksanakan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan adakah dalam kawasan larangan yang dikawal ketat.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik.

“Seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem PLKN yang diwartakan sebagai penjara sementara.

“Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan.

“Orang awam diminta memberikan keyakinan penuh terhadap langkah-langkah segera yang diambil pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.”

Demikian penjelasan yang diberikan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dalam kenyataannya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas penularan wabak pandemik itu dalam kalangan banduan dan petugas penjara sebanyak 1,126 kes di seluruh negara.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 691 kes baharu jangkitan Covid-19 direkodkan semalam.

Daripada jumlah tersebut, 688 kes merupakan jangkitan dalam negara dan sebanyak 394 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar.

Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan, penularan dalam kalangan tahanan bermula di Penjara Tawau, Sabah.

Seorang banduan di sana yang diterima dari Lahad Datu disahkan positif Covid-19 pada 2 Oktober.

“Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September.

“Jabatan Penjara mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covid-19 di penjara itu, yang kini melibatkan jumlah terbesar dalam kalangan banduan di sebuah penjara.

“Berikutan itu, Jabatan Penjara mengambil segala langkah mengikut SOP yang ditetapkan KKM untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu,” katanya. – SM

(Visited 401 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button