Oleh TUKANG TULIS
Memang sudah diduga Pakatan Harapan (PH) tumbang di tangan Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai.
Punca utamanya bukanlah kerana calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng terlampau hebat atau calon PH, Karmaine Sardini sangat lemah.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan PH adalah gejala yang boleh kita namakan sebagai ‘sindrom parti pemerintah’.
Mana-mana parti politik yang dijangkiti sindrom ini lazimnya menganggap kepimpinan mereka terlalu sempurna dan bebas daripada melakukan kesilapan.
Bila berlaku masalah, itu bukan salah mereka dan dalam kes PH, pemimpin-pemimpin mereka lebih-lebih lagi menteri-menteri Kabinet mengambil jalan mudah menuding jari kepada BN.
Begitu juga apabila kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin PH mencetuskan kontroversi dan seterusnya dikecam oleh rakyat.
Apa susah, salahkan sahaja media konon-kononnya salah lapor dan memutarbelitkan kenyataan pak menteri.
Perebutan kuasa juga biasa berlaku dalam parti pemerintah kerana jawatan Perdana Menteri yang besar pengaruhnya menjadi idaman pimpinan tertinggi.
Pada masa ini, bukan rahsia lagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak sabar menunggu jawatan Perdana Menteri diserahkan kepadanya secepat mungkin.
Kedengaran cakap-cakap di kedai kopi kononnya kekalahan PH di Tanjung Piai akan dijadikan modal untuk mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Orang lama PKR, Dr. Syed Husin Ali pun sudah bersuara mendesak pungutan suara dijalankan bagi menilai tahap sokongan rakyat terhadap kepimpinan Dr. Mahathir.
Hakikatnya rakyat semakin mual dengan ego besar pemimpin-pemimpin PH yang jauh lebih buruk daripada BN dahulu.
Apa yang berlaku dalam PH selepas hampir dua tahun menjadi kerajaan sebenarnya serupa dengan apa yang dialami BN sebelum mereka tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Jika pemimpin-pemimpin PH masih lagi syok sendiri, tidak mustahil mereka akan kehilangan kuasa kerana rakyat sudah hampir termuntah dengan perangai kurang cerdik mereka.
Mungkin juga mereka rindu hendak menjadi pembangkang semula selepas gagal memberi perkhidmatan terbaik seperti yang diharapkan rakyat.