Hiburan

Filem Soloz: Game of Life menggabungkan animasi dan realiti, ilham dari kisah benar

FILEM gabungan animasi dan realiti merupakan ilham dari kisah benar diilhamkan daripada perjalanan hidup seorang ikon Esukan tanah air, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz.

Penggemar filem dan peminat tegar permainan video, khususnya Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), pasti teruja dengan tayangan perdana Soloz: Game of Life. Filem yang diterbitkan oleh Key Billions Sdn. Bhd. ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 23 Januari 2025.

Soloz bukan sekadar nama besar dalam arena Esukan, tetapi juga simbol keberanian dan ketabahan dalam mengejar impian. Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Soloz menempuh pelbagai cabaran sebelum berjaya menjadi pemain profesional MLBB. Filem ini mengupas kisah inspirasi Soloz, dari seorang pemuda biasa hingga berjaya meraih kejayaan di persada antarabangsa.

Di bawah arahan Syafiq Yusof, Soloz: Game of Life menjanjikan pengalaman filem yang unik dan segar. Syafiq, yang terkenal dengan naratif kuat dan visual memukau, meneroka genre Esukan yang jarang diketengahkan dalam filem tempatan. Filem ini bukan sahaja meraikan kisah kejayaan Soloz, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita.

Watak Soloz dilakonkan oleh Hun Haqeem, seorang pelakon muda yang berbakat. Pemilihannya dirasakan tepat kerana wajahnya mirip Soloz yang sebenar. Filem ini turut menampilkan pelakon hebat seperti Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Syafie Naswip, dan Noki K-Clique, serta penampilan istimewa oleh Datuk Remy Ishak dan Azizah Mahzan.

Populariti Soloz melonjak sejak menjadi pelopor MLBB di Malaysia selepas pelancarannya oleh Moonton pada 2016. Pencapaiannya termasuk memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Filipina 2019 dan menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada 2022. Selain itu, Soloz juga dikenali kerana mencetuskan sensasi apabila membeli Ford Mustang pada 2020 menggunakan pendapatan Esukan.

Bagi memastikan filem ini autentik, kerjasama dengan Moonton membantu menghasilkan jalan cerita dan elemen permainan yang tepat. Elemen CGI yang dibangunkan bersama Frame Motion Studio menambah nilai visual, manakala Skop Productions bertindak sebagai pengedar rasmi filem ini.

Filem ini dimeriahkan dengan dua runut bunyi istimewa. Lagu “Untuk Semua Jiwa” hasil kolaborasi Hun Haqeem dan Noki membawa mesej inspirasi, manakala “To The Finish Line” oleh Vanessa Reynauld dan Rebel Asia mengangkat tema digital dan semangat tidak berputus asa. Kedua-dua lagu kini boleh distrim di platform digital seperti Spotify dan Apple Music.

Soloz: Game of Life bukan sekadar filem E-sukan pertama di Malaysia, tetapi juga sebuah karya inspirasi. Dengan mesej tentang semangat, persahabatan, dan sokongan keluarga, filem ini diharap membuka mata masyarakat terhadap potensi besar industri E-sukan. #

Saksikan perjalanan penuh makna ini di pawagam bermula Januari 2025 dan hayati inspirasi mengejar impian melalui kisah Soloz.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button