fbpx
Sukan

Siapa kita tentukan nasib Liverpool

PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu, berlangsung agak panas terutama melibatkan aksi derby Merseyside antara Everton menentang Liverpool yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.

Apa yang menjadi panas dan perdebatan dalam kalangan pundit serta peminat ialah pertemuan tersebut dicemari dengan kekasaran keras sehingga menyebabkan dua bintang The Reds, Virgil van Dijk dan Thiago Alcantara ditimpa kecederaan serius.

Lebih malang Van Dijk disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligamen (ACL) gred tiga dan memaksa bek tengah tersebut menjalani pembedahan.

Mujurlah kecederaan yang menimpa seorang lagi tonggak Liverpool, Thiago beransur pulih apabila bengkak dilututnya semakin menyusut.

Dua bintang Everton yang menyebabkan kecederaan tersebut menerima nasib berbeza apabila Richarlison dilayangkan kad merah kerana terjahan kerasnya ke atas Thiago, namun, penjaga gol, Jordan Pickford lebih bernasib baik setelah kesalahannya terhadap Van Dijk tidak dianggap sebagai satu kekasaran oleh pengadil, Michael Oliver dan juga VAR.


Malah, bintang antarabangsa England itu juga terlepas hukuman daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kerana laporan Oliver tidak melihat kesalahannya sebagai ‘foul play’.

Bagaimanapun, reaksi berbeza diterima Pickford daripada pundit dan juga peminat Liverpool yang rata-ratanya berpendapat penjaga gol tersebut wajar dihukum.

Kehilangan khidmat Van Dijk untuk tempoh yang panjang turut mendorong pelbagai spekulasi dan ramalan awal yang bakal menimpa Liverpool sebagai juara bertahan Liga Perdana.

Daripada cadangan mencari pengganti Van Dijk sehinggalah kepada masalah kelab Anfield itu untuk mempertahankan gelaran.

Liverpool belumpun memulakan kehidupan mereka tanpa Van Dijk, tetapi macam-macam andaian telah dibuat mereka yang kononnya lebih tahu tentang nasib pasukan itu selepas ini.

Statistik Liverpool juga dikeluarkan sewaktu beraksi bersama Van Dijk dan tanpa bek tengah berpengaruh itu.
Namun, sejauh mana kita boleh berpegang dan percaya kepada statistik serta ramalan tersebut, lebih elok tunggu sahaja aksi sulung skuad bimbingan Jurgen Klopp itu tanpa kelibat Van Dijk yang akan berlangsung Khamis ini dalam saingan Liga Juara-Juara menentang kelab Belanda, Ajax.

Apapun nasib Liverpool selepas ini, tidak adil buat kelab itu jika ada yang berpendapat mereka sudah boleh mengangkat bendera putih ataupun lupakan sahaja hasrat untuk mempertahankan gelaran EPL.

Memetik kata-kata pengurus Chelsea, Frank Lampard, memang benar Liverpool kehilangan pemain berpengaruh seperti Van Dijk, tetapi jangan pula lupa bahawa kelab itu diteraju oleh Klopp, seorang pengendali yang berprofil tinggi.

Bagi Lampard, skuad Liverpool bukan dibina dalam masa sehari, tetapi pasukan itu telah dibentuk kukuh selama beberapa tahun dan baginya The Reds masih pencabar yang kuat sekalipun tanpa kelibat Van Dijk.

Justeru lebih elok kita menunggu sahaja apa perancangan Klopp bagi mempersiapkan skuad bimbingannya menjelang aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dan EPL, hujung minggu ini.
Terjejas ataupun tidak Liverpool, nasib kelab itu masih terletak di tangan anak-anak buah Klopp untuk membuktikan kemampuan masing-masing tanpa Van Dijk. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button