Shafie terperangkap lagi
PUNCA kekalahan pada Pilihan Raya Kecil Kimanis ialah isu pemutihan pendatang asing yang memegang dokumen burung-burung.
Pemutihan oleh kerajaan negeri Sabah diterajui Datuk Seri Shafie Apdal disyaki oleh penduduk setempat sebagai usaha untuk mewujudkan pengundi baharu bagi menyokong kerajaan Warisan.
Pemberian dokumen yang tetap akan menyebabkan kebanjiran pendatang asing yang sukar dikawal dan akhirnya mereka akan menetap di Sabah dan pada masa hadapan anak-anak mereka akan menuntut kerakyatan.
Perkara itu tidak disenangi oleh majoriti penduduk di Sabah kerana khuatir hak mereka akan dirampas oleh orang asing.
Sepanjang pilihan raya kecil itu Shafie terpaksa menjelajah siang dan malam bagi memperjelaskan isu tersebut dan akhirnya memang tidak dilaksanakan kerana mendapat tentang rakyat.
Bagaimanapun Shafie sudah kehilangan sokongan majoriti penduduk Kimanis.
Perkara yang bersama berlaku pada Pilihan Raya Negeri kali ini dengan bermula isu tuntutan Filipina ke atas Sabah dan kini sehinggalah mempertikaikan tragedi Lahat Datu yang menyebabkan anggota keselamatan terkorban dibunuh ketika bertempur dengan pendatang Sulu.
Sedangkan Malaysia memang tidak melayan sebarang tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana ia memang tidak berasas.
Lebih parah lagi apabila menuduh tragedi Lahat Datu sebagai satu sandiwara dan ini mengguris hati dan perasaan anggota keselamatan yang kehilangan rakan sepasukan mereka.
Sebagai wartawan yang turut berkampung di Lahat Datu, tuduhan bahawa tragedi itu sebagai sandiwara memang keterlaluan.
Jika siapa yang berada di lapangan ketika kejadian itu pasti akan dapat merasakan bagaimana ketakutan penduduk setempat dan pasukan keselamatan.
Bahkan para wartawan sendiri bimbang kemungkinan menjadi mangsa culik para pengganas ketika itu.
Satu lagi mempermainkan isu penularan wabak Covid-19 juga bukan sikap yang bijak kerana ia akan menyebabkan bencana yang lebih buruk kelak.
Shafie tidak sepatutnya mempermainkan isu keselamatan dan anti-Semenanjung semasa pilihan raya negeri, tetapi tumpu sahaja kepada pembangunan negeri kerana ia adalah kekuatan serta kelebihan yang dimiliki beliau.
Rasa dejavuu itu kembali, Shafie pada awalnya kelihatan mempunyai kelebihan, tetapi dihujung beliau melakukan kesilapan.