Negeri

Selangor kuat kuasa haram minum arak dalam taman

RAKYAT di negeri Selangor tidak lagi boleh membawa minuman keras atau minum arak di dalam kawasan taman di negeri itu selepas kerajaan negeri mengharamkan kegiatan tersebut.

Turut diharamkan adalah perbuatan menghisap rokok dan juga vape dalam kawasan taman.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan Ng Sze Han keputusan tersebut diambil demi memastikan keselesaan pengunjung serta bagi menjaga kesihatan pengguna taman yang lain.

Menurut beliau, larangan itu telah dimasukkan dalam kesalahan Undang-undang Kecil Taman 2005 dan akan dikuatkuasakan serta-merta.

“Dengan pindaan Undang-undang Kecil Taman 2005 ini, maka negeri Selangor di bawah pimpinan PH bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang melarang minum arak dan rokok di taman-taman permainan dan taman-taman rekreasi,” katanya.

Menurut Sze Han, gaya hidup yang sihat semakin menjadi amalan harian dan keutamaan rakyat Malaysia

Larangan tersebut dibuat berikutan taman permainan dan taman rekreasi menjadi tempat tumpuan keluarga.

Kawasan hijau di negeri itu juga semakin kerap dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas untuk aktiviti kekeluargaan dan riadah.

Sze Han berkata. penguatkuasaan undang-undang berkenaan akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan saman maksimum RM1,000 boleh dikenakan kepada pengunjung yang ingkar dengan larangan yang ditetapkan.

Menurut Sze Han, penguat kuasa PBT akan mengadakan operasi dari semasa ke semasa dan orang ramai juga boleh membuat aduan kepada PBT sekiranya melihat salah laku berkenaan di taman awam.

 

(Visited 479 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button