Ekonomi

Selangor lepasi sasaran kedatangan pelancong

Selangor terus komited untuk meningkatkan sektor pelancongan dan menjangkakan kehadiran tujuh  Juta pelancong semasa Tahun Melawat Selangor 2025.

Tourism Selangor dalam satu kenyataan memberitahu, berdasarkan rekod baru-baru ini,  Selangor telah berjaya menarik 6.54 juta pelancong pada tahun 2023.

Pencapaian ini telah menjadi asas yang kukuh bagi pertumbuhan yang berterusan bagi tahun mendatang.

Daripada jumlah kemasukan pelancong yang direkodkan, 4,449,951 juta adalah pelancong domestik, manakala 2,086,263 juta adalah daripada pelancong antarabangsa.

Data ini telah dikumpulkan oleh Tourism Selangor, sejajar dengan kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), yang mentakrifkan pelancong sebagai individu yang perjalanannya termasuk menginap di sesuatu tempat.

Menggunakan cara pengumpulan data yang digunapakai oleh pihak Tourism Malaysia, pengumpulan data di Negeri Selangor memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan dalam mengenalpasti pertumbuhan pelancongan.

Kemasukan pelancong yang luar biasa sebanyak 6.54 juta pelancong pada tahun 2023 mewakili peningkatan sebanyak 46.4% daripada tahun sebelumnya, melepasi sasaran kemasukan lima  juta pelancong ke Negeri Selangor.

Pertumbuhan luar biasa ini telah membuktikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dan menekankan keberkesanan inisiatif strategik yang bertujuan untuk mempromosikan segmentasi pelancongan negeri seperti ekopelancongan, taman tema, pelancongan makanan, warisan dan budaya.

Pasaran

China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India kekal sebagai lima pasaran pelancong antarabangsa teratas untuk Selangor, menyumbang 46 peratus daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong antarabangsa.

Manakala, Kuala Lumpur,  Johor, Perak, Pahang dan Pulau Pinang kekal sebagai pasaran pelancong domestik teratas, merangkumi 36 peratus daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong
domestik.

Selain itu, antara 12 Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya telah menerima kemasukan pelancong tertinggi dengan merekodkan 2.15 juta pelancong.

Manakala, Majlis Perbandaran Hulu Selangor telah merekodkan peningkatan kemasukan pelancong yang tertinggi sebanyak 358 peratus, daripada kemasukan 16,920 pelancong pada tahun 2022 kepada 77,521 pelancong pada tahun 2023.

Ini membuktikan tawaran dan tarikan pelancongan di Selangor yang pelbagai dan semakin berkembang.

Pemain-pemain industri pelancongan dan para pelancong boleh menjangkakan lebih banyak pembangunan pelancongan yang baharu dengan pengalaman melancong yang tiada tandingan di Negeri Selangor pada tahun yang mendatang. – SM

(Visited 28 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button