NasionalNegeri

Selangor bakal jadi negeri pertama bangunkan pusat e-sukan

PEMBANGUNAN sukan elektronik (e-sukan) atau permainan video terus menjadi pilihan belia ketika ini sebagai salah satu aktiviti bermanfaat kepada mereka.

Berikutan bidang berkenaan terus mendapat tempat dalam kalangan belia malah ada yang menjana pendapatan menerusi aktiviti tersebut, Kerajaan Negeri Selangor bakal menubuhkan pusat pusat pembangunan e-sukan pertama di Malaysia.

Oleh demikian, sebuah bangunan bekas hotel di Seksyen 13, Shah Alam akan diubah suai untuk dijadikan pusat pembangunan e-sport.

Malah, bangunan tersebut juga bakal dilengkapi dengan pelbagai fasiliti lain termasuk akademi latihan bagi mengembangkan lagi potensi bidang e-sukan.

“Inisiatif ini adalah bagi memastikan potensi e-sukan dapat dikembangkan secara optimum dan menjadi platform terbaik buat rakyat Selangor untuk menampilkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.


“Selangor akan jadikan tapak bekas Hotel Carlton yang terletak sebelah Pusat Akuatik sebagai pusat pembangunan e-sukan pertama dan akan menukar reka bentuk bangunan itu sesuai dengan konsep.

“Pusat itu turun dilengkapi dengan pusat latihan yang bertauliah yang lengkap dengan fasiliti seperti penginapan, tempat latihan dan studio.

“Malah ia juga boleh menjadi pusat e-sukan sama ada peringkat kebangsaan mahu pun peringkat antarabangsa.”

Demikian pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pelancaran program Selangor Xtiv Virtual 2021 yang turut menampilkan pengisian baharu iaitu Xtiv Virtual Chess, Xtiv Virtual Ride dan Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Katanya, pembangunan pusat e-sukan itu akan melibatkan jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Persatuan E-Sports Selangor (ESS), Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu, pembangunan pusat e-sukan itu dijangka boleh digunakan menjelang suku terakhir tahun ini dan proses pengubahsuaiannya pula dijangka berjumlah RM3 juta.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata lagi, penganjuran pada tahun ini adalah kesinambungan program Selangor Xtiv 2020 apabila menerima sebanyak 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

“Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda dan Sukan akan meneruskan program Selangor Xtiv Virtual 2021 bermula Mac hingga Disember tahun ini.

“Penganjuran ini menyasarkan 450,000 penyertaan dan tawaran hadiah terkumpul sebanyak RM411,680.

“Selain itu, program pembangunan e-sukan juga akan dilaksanakan dengan melibatkan persatuan e-sukan di setiap daerah untuk menjalankan program mencungkil bakat seperti telecaster dan coaching dalam kalangan peserta,” ujarnya. – SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button