Rencah Hidup

Ikhlaskah permohonan maaf?

AKU menulis bukan kerna nama. Benar tapi itu tidak bermakna, profesion kewartawanan dan wartawan serta organisasi media boleh dihina dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana individu tanpa mengira pangkal di hadapan namanya adalah bergelar.

Kadang kala istilah yang diucapkan berbunyi, “belajar tinggi-tinggi, bodoh tertingkat-tingkat” tidak enak dihalwa telinga tetapi apakah perkataan-perkataan atau struktur ayat yang manis untuk menggambarkan sikap orang kita yang mudah menghina dan melontarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaan.

Men-sampah-kan wartawan, membodohkan wartawan, memperlekehkan wartawan seolah-olah satu keseronokan yang tidak terucap oleh mereka yang sebenarnya, lebih rendah kedudukan dan martabatnya daripada seorang pengemis di kaki lima.

Kelaziman generasi yang hidup zaman sekarang ialah sakitkan hati orang dahulu, hina atau maki serta cerca dahulu, kemudian boleh sahaja MINTA MAAF.

Ucapan MINTA MAAF tiada harga kerana keterpaksaan untuk meminta maaf akan mencerminkan ketidakikhlasan individu berkenaan.

Cubit peha kiri, peha kanan terasa. Faham bukan peribahasa ini? Kalau tidak faham, boleh sahaja buka buku Bahasa Malaysia untuk mendalami peribahasa ini kerana apabila media dan wartawan lain yang dihina, pengamal media lain juga terasa dihina.

Sebenarnya ucapan MINTA MAAF itu tidak mencukupi kerana parut di luka tetap akan ada. Bukan tidak mahu bersifat pemaaf dan memaafkan tetapi seperti yang dinyatakan tadi, parut tetap ada.

Individu yang mudah menghina dan menyalahkan pihak media dalam sesuatu perkara sebenarnya tidak berjiwa besar.

Bukan itu sahaja, individu yang tergolong dalam kelompok atau kumpulan ini sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri dan membabitkan pula menteri sipolan.

Mengapa perlu mengaitkan nama menteri lain dalam ciapan di media sosial melainkan mempunyai maksud yang tersurat.

Meniti kejayaan biarlah atas kemampuan, kebolehan dan kapasiti sendiri atau dalam bahasa Inggerisnya, on your own merit man!

Tidak perlu bersikap membodek atau mengampu waimah apa jua nawaitu dihati. Jadikan satu pengajaran kepada diri sendiri kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Terlajak ciapan, fikirlah kesannya. – SM

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button