AnalisisUncategorized

Selamat ulang tahun kematian Utusan, selamat hari lahir Suara Merdeka

SEMALAM 9 Oktober genap lima tahun ‘kematian’ syarikat Utusan Melayu (M) Berhad yang merupakan sebuah institusi keramat dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dan hari ini pula, 10 Oktober adalah ulang tahun kelima kelahiran Suara Merdeka yang diasaskan oleh pekerja-pekerja Utusan Melayu khususnya wartawan Utusan Malaysia ketika itu demi meneruskan perjuangan dan kerjaya kewartawanan mereka.

Beberapa minggu sebelum Utusan Melayu dikapankan secara rasmi, sudah ada ura-ura dan khabar angin yang bertiup kencang akan nasib yang bakal dialami oleh pekerja syarikat itu.

Sebelum itu pun mereka sudah tiga bulan tidak dibayar gaji kerana syarikat berhadapan dengan masalah kewangan yang serius tanpa ada mana-mana pihak terutama UMNO yang datang membantu.

Oleh itu, apabila ada berita bahawa Utusan Melayu akan menutup operasi, maka sekumpulan wartawan Utusan Malaysia yang merasakan mereka tidak akan terpilih jika akhbar itu dihidupkan semula kerana aliran pemikiran yang berbeza, telah mengambil keputusan untuk mewujudkan sebuah portal berita yang diberi nama Suara Merdeka.

Nama ini digunakan hasil cetusan idea salah seorang bekas Ketua Pengarang Utusan yang bersimpati dengan nasib para pekerja yang rela bekerja tanpa gaji selama tiga bulan sebelum ditutup.

Maka, sebaik sahaja Utusan Melayu menutup operasi pada pukul 2 petang 9 Oktober 2019, pada pagi 10 Oktober 2019, Suara Merdeka dilancarkan. Suara Merdeka yang digerakkan oleh 10 bekas kakitangan Utusan ketika itu hanya sebuah platform untuk membolehkan kami mempunyai aktiviti dan berjumpa setiap hari bagi mengelakkan kami menjadi murung atau tertekan kerana kehilangan kerja tiba-tiba.

Ini kerana, pada pagi 19 Oktober 2019, ketika kami masuk pejabat, kami diberikan notis secara tiba-tiba untuk mengosongkan pejabat kerana perniagaan syarikat Utusan Melayu sudah digulung dan diletakkan di bawah lequidator.

Kami diberi masa hingga pukul 2 petang untuk membawa keluar semua barang kepunyaan peribadi. Namun selepas membuat rayuan, kami diberi tempoh hingga pukul 6 petang. Selepas itu tidak ada seorang pun dibenarkan masuk ke dalam bangunan yang menjadi mercu tanda baharu Utusan Melayu yang mula dihuni pada 2013 itu. Jika ada barang yang mahu diambil para pekerja perlu diiringi oleh pengawal keselamatan.

Demikian runtuhnya sebuah institusi Melayu dalam sekelip mata. Maka ramailah yang meletakkan kesalahan itu pada bahu Pengerusi Eksekutif yang terakhir iaitu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Tetapi betulkan ia kesalahan dan kesilapan Abdul Aziz 100 peratus? Adakah sebelum Abdul Aziz masuk Utusan Melayu adalah sebuah syarikat yang sihat? Adakah kedudukan kewangannya kukuh dan Abdul Aziz yang berjoli sakan hingga ia ditutup? Sebelum ia digulung pada 9 Oktober 2019, bila kali terakhir mencatatkan keuntungan? Berapa nilai saham Utusan Melayu di Bursa?

Bagaimana dengan  para pengurusan Utusan Melayu yang sebelum Abdul Aziz? Adakah mereka cemerlang? Adakah mereka telah menguruskan Utusan Melayu dengan baik? Tidak ada penyelewengankah oleh pengurusan Utusan Melayu yang mana duit sepatutnya masuk ke akaun Utusan tetapi masuk ke dalam poket masing-masing?

Lihatlah berapa ramai bekas pengurusan Utusan Melayu yang hidup mewah selepas Utusan Melayu di tutup. Sedangkan kakitangan terutama para wartawan terpaksa ‘mengemis’ untuk meneruskan kehidupan.

Tetapi itulah sifat orang Melayu, mereka tidak akan menyalahkan ketua atau pemimpin mereka yang puluhan tahun melakukan penyelewengan dan salah tadbir syarikat. Tetapi apabila ada orang baharu masuk untuk menyelamatkan syarikat ketika nazak tetapi gagal, maka orang itu yang akan disalahkan.

Sama juga dengan UMNO, ketika zaman mereka lagi Utusan ibarat hidup segan mati tidak mahu, dipalit dengan pelbagai imej negatif, digelar Utusan Meloya dan sebagainya, namun apabila ia ditutup UMNO menyalahkan Dr. Mahathir.

Sedangkan sejak daripada tahun 1960an setiap hari UMNO memerahkan kudrat dan keringat Utusan Melayu untuk kepentingan mereka. Tetapi apabila institusi Melayu itu ditutup mereka langsung tidak ada rasa bersalah sebaliknya menyalahkan orang lain.

Selepas Utusan Melayu ditutup, ramai pemimpin UMNO menyalahkan  Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri Ketujuh sebagai bertanggungjawab terhadap ‘kematian’ Utusan Melayu.

Tetapi pada pemimpin UMNO ini tidak sedar bagaimana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018,  setiap apa yang ada di Utusan Melayu terutama dua akhbarnya, Utusan Malaysia dan Kosmo diperah habis-habisan dengan tujuan untuk memenangkan UMNO dan Barisan Nasional.

Menjelang PRU14, Utusan Melayu menerbitkan akhbar petang khusus untuk memburuk-burukkan pembangkang terutama Dr. Mahathir. Pelbagai cerita buruk tentang Dr. Mahathir, PKR dan DAP disiarkan dalam  akhbar petang yang diedarkan secara percuma itu terutama di kempen-kempen pilihan raya.

Dengan apa yang dilakukan  oleh Utusan itu dan apabila UMNO/BN kalah dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri adakah logik untuk mereka memberikan bantaun kewangan kepada Utusan Melayu yang majoriti sahamnya di pegang oleh UMNO? Adakah ia logik?

Kerajaan PH dan Dr. Mahathir tidak menutup Utusan Melayu, tetapi disebabkan Utusan Melayu milik parti pembangkang (UMNO/BN) ketika itu maka mereka memutuskan segala sumber pengiklanan kepada Utusan. Langgananb akhbar di pejabat-pejabat kerajaan dihentikan kerana Utusan Malaysia dan Kosmo adalah akhbar milik pembangkang.

Sekolah-sekolah dan universiti juga dilarang daripada melanggan Utusan Malaysia dan Kosmo. Jika tidak salah larangan itu masih berkuat kuasa hingga ke hari ini.  Maka, Utusan Melayu yang bergantung kepada iklan, advertorial dan segala bentuk bantuan kewangan dari kerajaan dan GLC selama ini sudah terputus sumber perniagaan.

Ia diburukan lagi dengan  isu ‘apa lagi Cina mahu’ yang menyebabkan konglomerat dan ahli perniagaan keturunan Cina berhenti untuk membeli iklan dengan akhbar keluaran Utusan Melayu. Sedangkan semua yang Utusan buat dan lakukan itu adalah demi UMNO. Tetapi ketika Utusan Melayu sedang nazak, para pemimpin UMNO memilih untuk menggunakan  saki baki dana yang mereka ada digunakan untuk menyelamatkan kroni mereka terlebih dahulu.

Dan sampai sekarang rasanya tidak ada pemimpin UMNO yang bersimpati dengan penutupan Utusan Melayu ini, institusi yang mati kerana memerpertahankan parti Melayu yang kononnya keramat itu.

Dengan saki baki tenaga dan idea yang ada maka kami melahirkan Suara Merdeka sebagai medium untuk kami meneruskan kecintaan kami kepada dunia kewartawanan. Namun, Suara Merdeka tidak menerima dana daripada sesiapa. Disebabkan ia ditubuhkan sesama kami dan tanpa sokongan mana-mana pihak maka agak sukar untuk kami mencari dana dalam menguruskan operasi harian.

Adat di Malaysia, portal-portal berita yang kecil-kecil dan yang baharu diterbitkan hanya boleh bertahan jika ada pembiaya di belakang. Itu pun banyak yang terpaksa ditutup apabila pembiaya atau funder tarik diri.

Kami di Suara Merdeka dalam  keadaan sederhana masih bertahan hingga ke hari ini walaupun tanpa dana dan sekadar kais pagi makan pagi. Kami berterima kepada satu dua korporat seperti Bank Rakyat yang sudi menggunakan platform kami untuk mempromosikan produk mereka. Ia membantu kami untuk bertahan dalam keadaan serba kekurangan ini.

Seperti biasa di tahun kedua penubuhan, kami didekati oleh wakil daripada seorang pemimpin UMNO untuk membantu mengetengahkan berita perbicaraan daripada perspektif pihak pembela. Ini kerana kebanyakan berita yang disiarkan oleh media arus perdana adalah daripada perspektif pendakwa yang banyak kelihatan negatif.

Maka Suara Merdeka bersetuju membantu pemimpin tersebut dan kami membuat liputan berdasarkan hujah-hujah peguam bela untuk mempertahankan pemimpin tersebut. Malah wakil pemimpin itu turut berjanji yang mereka akan membantu Suara Merdeka termasuk menyalurkan sedikit dana supaya kami boleh hidup.

Tetapi UMNO tetap UMNO, apabila mereka sudah okey segala janji dilupakan begitu sahaja. Di peringkat awal kami membuat liputan kes mahkamah pemimpin tersebut langsung tidak ada penyokong pemimpin itu yang hadir. Yang ada hanya pasukan peguam belas dan kru Suara Merdeka hingga kami boleh duduk minum sambil bersembang di kantin mahkamah dengan beliau.

Tetapi itu cerita ketika mereka susah. Apabila sudah senang, Pengarang Suara Merdeka yang sebelum ini sama-sama duduk di kantin mahkamah mendengar keluh kelas pemimpin itu, sekarang mereka sudah tidak kenal.

Apa pun hari ini adalah ulang tahun kelima Suara Merdeka. Di sebalik segala kesukaran itu kami bertahan dalam keadaan yang serba sederhana. Kami bertahan kerana minat dan semangat untuk terus berjuang dalam dunia kewartawanan yang sebelum ini lebih 20 tahun ditaburkan bersama Utusan Melayu.

Walaupun ‘dikencing’ oleh pemimpin, ditipu oleh kawan-kawan dan dipergunakan untuk kepentingan kumpulan tertentu dan kemudian diabaikan, kami tetapi bertahan.

Cuma ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, kami dapat merasa sedikit limpahan daripada bajet untuk media yang disediakan oleh pejabat Perdana Menteri. Ia membantu kami untuk beroperasi dengan lancar. Tetapi itulah, panas tidak sampai ke petang.

Sepanjang tempoh lima tahun ini ada juga kakitangan Suara Merdeka yang berhijrah dan berkhidmat dengan cemerlang di platform media lain disebabkan ketidakmampuan kami untuk membayar gaji yang sesuai. Kami bersifatkan terbuka demi masa depan mereka.

Di sebalik serba kekurangan dan tanpa sokongan mana-mana pihak, kami akan berusaha untuk mempertahankan jenama Suara Merdeka ini bukan sahaja untuk tempoh lima tahun akan datang, tetapi kalau boleh selagi nyawa dikandung badan.

Ini adalah medium perjuangan kami demi kecintaan kami kepada dunia kewartawan yang kami ceburi sebaik menamatkan  pengajian di sebuah lagi institusi Melayu iaitu Uviversiti Teknologi Mara (UiTM).

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button