“Selagi jadi pengadil, aku pasti batalkan semua gol yang jelas dari Malaysia,” – Kim Dae Yong
Keputusan pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Yong pada minit ke-58 kononnya gol kedua dari Malaysia tidak sah dan perlu dibatalkan menimbulkan perasaan misteri yang sukar dirungkai.
Nak cuba berhusnuzon pun, dah habis segala husnuzon yang dipakai kerana dengan selambanya Kim Dae Yong mengatakan pemain Harimau Malaya mengasari pertahanan Thailand sehingga cedera.
Jika melihat kepada ulang tayang, jelas sekali penjaga gol Thailand, Kittipong Phoothawchuek ‘menyiku’ pertahanan sendiri dalam usahanya mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Malah, dua pemain Malaysia iaitu Darren Lok dan Dominic Tan pula tidak mengasari pertahanan lawan apabila mereka hanya melonjak untuk berebut bola di udara dalam usaha menjaringkan gol.
Kelihatan, bola terkena salah seorang pemain terbabit sebelum menerjah gol lawan, sekali gus sepatutnya Malaysia mendahului perlawanan dengan 2-0.
Namun apa boleh buat, hanya boleh berharap bekalan tipis ke Thailand menerusi jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 menjadi kekuatan penerus semangat skuad Harimau Malaya! – SM