Nasional

Segera selesaikan isu tenaga kerja Indonesia-Micci

DEWAN Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (Micci) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia lebih berusaha dalam menyelesaikan isu tenaga kerja selepas Indonesia membekukan sementara penghantaran pekerjanya ke Malaysia.

Micci menyifatkan keputusan itu memberi “kesan berganda” terhadap banyak sektor yang sudah pun berdepan gangguan rantaian bekalan.

Pengarah Eksekutifnya, Shaun Cheah berkata, industri sedang berusaha untuk memulihkan dan memenuhi permintaan.

Pekerja asing dari negara republic itu amat diperlukan khususnya dalam sektor pembinaan dan perladangan, katanya.

Oleh itu, Shaun berkata, KDN dan Kementerian Sumber Manusia perlu berusaha keras untuk menyelesaikan isu ini.

Republik itu baru-baru ini memetik pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani Jakarta dan Putrajaya sebagai punca sekatan sementara dilaksanakan.

Duta Besar Indonesia, Hermono dilaporkan berkata, ini disebabkan penggunaan berterusan Sistem Maid Online (MOS) oleh Jabatan imigresen Malaysia dalam pengambilan pembantu rumah dari negara itu.

Beliau menegaskan masalah kekurangan tenaga kerja dalam negara adalah kritikal dan memberi kesan buruk kepada hasil negara, walaupun terdapat permintaan eksport.

“Kerajaan nampaknya menumpukan audit cukai agresif dan mewujudkan sumber cukai tidak langsung yang inovatif, bukannya memastikan sektor eksport dan pelancongan menjana hasil sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Foo Yong Hooi berkata, pembekuan itu dijangka berterusan selagi Jabatan Imigresen menggunakan MOS.

“Duta besar Indonesia memaklumkan perkara itu kepada empat persatuan agensi pekerjaan dalam satu mesyuarat beberapa bulan lalu.

“Beliau memberi amaran kepada kami bahawa agensi swasta yang didapati menggunakan MOS akan dilarang daripada menerima akreditasi,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Sumber Manusia turut memberi amaran supaya tidak campur tangan atau lesen mereka akan dibatalkan.

Beliau berkata, pembekuan itu akan menjejaskan semua sektor dan pihak terlibat, khususnya agensi pekerjaan swasta dan pembantu rumah.

“Ini tidak adil. Indonesia sepatutnya membenarkan sektor pembuatan dan perladangan mengambil tenaga kerja kerana isu MOS tidak melibatkan sektor formal.”

Katanya lagi, Kabinet perlu membincang dan menyelesaikan isu MOS secepat mungkin.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika mengulas keputusan Indonesia itu berkata, tenaga kerja masih boleh direkrut dari negara lain termasuk Bangladesh. –FMT-SM

 

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button